Fokus kerajaan tangani ekonomi, bukan PRU16 – Fahmi
ROMPIN – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan fokus Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah kepada usaha menangani cabaran ekonomi dan memastikan kestabilan negara, bukannya membuat persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dilaporkan berpandangan PRU16 mungkin diadakan tahun ini.
Menurut Fahmi, setakat ini tiada sebarang perbincangan mengenai pembubaran Parlimen atau pelaksanaan pilihan raya umum dalam masa terdekat.
“Kita tidak ada bincang apa-apa. Pilihan Raya Umum ke-16 boleh diadakan selewat-lewatnya hujung tahun depan.
“Fokus pentadbiran sekarang ini sebenarnya seperti yang Perdana Menteri telah sebutkan, bukan politik berpanjangan dan bukan pilihan raya berpanjangan,” katanya kepada media selepas Program Wayang Pacak di Rompin hari ini.
Fahmi berkata, kerajaan ketika ini memberi tumpuan kepada usaha mengatasi cabaran ekonomi yang berpunca daripada ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat.
“Fokus Perdana Menteri adalah ke arah kestabilan dan menyelesaikan isu-isu ekonomi, bukan pilihan raya umum,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, pandangan Mohamad sebagai pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi kerajaan.
“Saya lihat itu adalah sekadar pandangan Datuk Seri Mohamad Hasan, pandangan beliau, pandangan peribadi beliau.
“Malah jika ditanya, Perdana Menteri sendiri secara terbuka telah menyatakan bahawa pilihan raya umum tidak akan diadakan sekarang dan mungkin pada tahun hadapan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















