BERITA SEMASA

Wayang pacak medium santuni rakyat, salur maklumat setempat – Fahmi

ROMPIN – Program wayang pacak yang dianjurkan secara berkala oleh Jabatan Penerangan terus menjadi medium mendekati masyarakat selain menyampaikan maklumat kerajaan kepada penduduk setempat.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi tayangan filem serta sesi ramah mesra bersama penduduk.

Menurutnya, selain memberi peluang kepada masyarakat menikmati tayangan filem, program berkenaan turut dimanfaatkan untuk mendapatkan maklum balas rakyat mengenai isu yang dihadapi di kawasan mereka.

“Malam ini kita bersama-sama menonton wayang pacak dan beramah mesra dengan penduduk setempat.

“Program wayang pacak sebenarnya diadakan secara berkala oleh rakan-rakan daripada Jabatan Penerangan yang membawa filem-filem bersama FINAS, namun pada masa sama mengambil peluang untuk memberikan maklumat kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui pada Program Wayang Pacak di Rompin, Negeri Sembilan hari ini.

Fahmi berkata, Jabatan Penerangan sentiasa menggunakan aset dan peralatan bergeraknya untuk menjayakan program seumpama itu di seluruh negara.

Menurutnya, sebelum ini program berkenaan turut diadakan di Melaka dan Pulau Pinang sebelum dibawa ke Rompin.

“Saya melihat ini sebagai peluang yang baik terutama kepada penduduk tempatan. Saya lihat ada dalam kalangan Orang Asli dan penduduk dari kampung berhampiran yang dapat meluangkan masa untuk sama-sama menonton filem yang disediakan,” katanya lagi.

Beliau berharap masyarakat setempat termasuk golongan muda dan warga sekitar Rompin dapat menyalurkan pandangan serta maklum balas kepada Jabatan Penerangan untuk tindakan susulan.

“Jabatan Penerangan sentiasa mengumpulkan maklumat mengenai isu-isu tempatan yang dihadapi penduduk untuk disalurkan kepada pihak berkuasa bagi tindakan sewajarnya,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button