POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Altimet mahu pengundi utamakan rasional, bukan emosi

HULU LANGAT – Ketua Cabang PKR Ampang, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet menyifatkan persaingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat sengit, sekali gus berharap kadar peratusan keluar mengundi dapat meningkat.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya ketika berada di Ampangan, saingan antara parti-parti yang bertanding dijangka berlangsung dengan cukup kompetitif.

Menurutnya, pengundi Negeri Sembilan perlu menggunakan hak mereka dengan memilih wakil rakyat serta barisan pentadbiran negeri yang mampu membawa kemajuan kepada negeri itu.

“Semalam saya berada di Ampangan dan apa yang saya lihat persaingan agak sengit. Jadi kita tengok macam mana keadaannya, termasuk peratusan keluar mengundi.

“Saya berharap rakyat Negeri Sembilan memilih wakil rakyat dan badan eksekutif yang diketuai Menteri Besar yang baik,” katanya selepas merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.

Baca juga : Jangan jadikan keputusan PRN kayu ukur sentimen seluruh negara – Altimet

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu berkata, Negeri Sembilan mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara negeri paling pesat membangun dan mampu menyaingi Selangor sekiranya kesinambungan dasar pembangunan dapat diteruskan.

Katanya, negeri itu turut menunjukkan perkembangan positif termasuk peningkatan rizab negeri serta pelaksanaan pelbagai insentif yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Negeri Sembilan ialah satu negeri yang berpotensi menyaingi Selangor. Kita dapat lihat rizab negeri meningkat dan terdapat pelbagai insentif yang diperkenalkan di Negeri Sembilan.

“Keluar mengundi itu hak anda, manakala siapa yang hendak dipilih juga terpulang kepada pengundi. Tetapi buatlah pilihan yang terbaik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya membuat pertimbangan secara rasional dan tidak dipengaruhi emosi semata-mata ketika memilih calon.

“Kalau boleh gunakan akal sebaik mungkin. Kita tahu sebagai manusia, kita tidak boleh membuat keputusan menggunakan akal semata-mata kerana ada juga pertimbangan hati.

“Tetapi kalau membuat keputusan seratus peratus mengikut hati, ia akan menjadi sukar kerana emosi akan menguasai pertimbangan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button