PRN Negeri Sembilan: Ahmad Zahid cadang Sanusi balik Kedah, tidak perlu hadir berkempen
KUALA PILAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamed Sanusi Mohd Nor supaya kembali ke negerinya dan tidak perlu hadir berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, menzahirkan rasa kurang senang dengan kenyataan pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu yang membayangkan orang Cina dan India di Malaysia masih mempunyai ‘negara asal masing-masing’, lapor FMT.
“Dan kalau boleh, sehingga Sabtu nanti, kita masih ada enam hari lagi. Saya fikir lebih baik beliau menumpukan perhatian kepada urusan mentadbir negeri Kedah.
“Tidak perlulah datang ke Negeri Sembilan. Biarlah kami menguruskan negeri ini dengan cara kami sendiri,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Salam Agrikomoditi Madani di Dataran Melang Kuala Pilah.
Kelmarin, Sanusi dilaporkan sebagai berkata, “Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”
Ketika diminta mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Sanusi tidak perlu menyentuh soal etnik, agama, budaya atau latar belakang kaum lain di negara ini, jika berhasrat memperlihatkan penyatuan dalam kalangan umat.
“Saya yakin kemajmukan rakyat Malaysia dengan pelbagai latar belakang adalah satu sunnatullah yang telah ditentukan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















