Harimau belang betina seberat 94kg berjaya ditangkap di Hulu Kinta
IPOH – Seekor harimau belang betina seberat 94 kilogram berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak di kawasan Hulu Kinta, dekat sini kelmarin.
Perangkap itu dipasang berhampiran sebuah kandang lembu persendirian berhampiran Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh susulan aduan mengenai kehadiran haiwan pemangsa berkenaan yang dipercayai menyerang ternakan di kawasan tersebut.
Pengarah PERHILITAN Perak, Mohd Taufik Abdul Rahman berkata, harimau itu dikesan memasuki perangkap pada pukul 12.40 tengah hari selepas ia dipasang sejak 17 Julai lalu.
Beliau berkata, harimau betina yang dianggarkan berusia kurang 10 tahun itu didapati berada dalam keadaan sihat dan hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka.
“Harimau ini akan dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk pemeriksaan lanjut dan tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi menangkap haiwan berkenaan turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan aspek keselamatan sepanjang operasi dipatuhi.
Sehubungan itu, Mohd Taufik mengingatkan orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kehadiran hidupan liar kepada Perhilitan dan tidak mengambil tindakan sendiri.
“Tindakan mencederakan atau membunuh hidupan liar bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah haiwan yang cedera berisiko menjadi lebih agresif sehingga boleh mengancam keselamatan orang awam,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















