Kerjasama BN, PN umpama ‘Titanic’, tunggu masa untuk karam
CYBERJAYA – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) umpama kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam kerana tidak dibina atas asas kepercayaan dan kesetiaan politik.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh, kerjasama kedua-dua gabungan itu mungkin kelihatan kukuh pada permulaannya, namun tidak mampu bertahan kerana dibayangi pengkhianatan serta perebutan kepimpinan.
“Saya bandingkan kerjasama mereka seperti kapal dalam filem Titanic yang akan karam bila-bila masa sahaja. Mereka bersorak gembira pada awal pelayaran, namun karam akhirnya akibat melanggar bongkah ais besar yang gagal dilihat berada di depan,” kata Hannah dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Hannah kemudiannya berkata, kerjasama itu tidak mempunyai nilai ‘politik persahabatan’ kerana setiap pihak lebih mementingkan cita-cita sendiri untuk menguasai tampuk kepimpinan negara.
“Masing-masing bercita-cita untuk menjadi perdana menteri dan akan memijak satu sama lain untuk naik ke atas. Mereka pun tidak mahu rakan kerjasama mereka berjaya. Yang mahu dijulang, hanyalah pucuk masing-masing.
“Begitulah perumpamaan kerjasama BN dan PN hari ini. Mereka seperti kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam kerana tidak memiliki nilai politik persahabatan,” katanya.
Sebaliknya, beliau berkata PH sudah membuktikan kesetiaan dalam kerjasama antara parti komponennya apabila PKR, Amanah dan DAP terus mempertahankan kepimpinan Anwar Ibrahim sehingga dilantik sebagai perdana menteri ke-10.
Beliau berkata, kemenangan calon PH pada PRN Negeri Sembilan penting sebagai simbol mempertahankan nilai kesetiaan dan politik persahabatan yang menjadi asas gabungan itu.
“Ianya yang tidak ada dalam mana-mana kerjasama politik selain Pakatan Harapan. Kekalkan Harapan, akan kekallah Kerajaan dan para pemimpin yang setia dengan nilai politik persahabatan ini. Percayalah,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, BN dan PN membentuk satu persefahaman yang menyaksikan kedua-dua gabungan tidak bertembung dalam pertandingan di kesemua 36 kerusi dipertandingkan.
BN bertanding di 25 kerusi, manakala parti komponen PN termasuk PAS, WAWASAN, GERAKAN, dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) meletakkan calon di 11 DUN.
Kerjasama itu bagaimanapun tidak disertai BERSATU yang bertanding secara solo di 24 kerusi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















