MCMC mohon turunkan lebih 1.2 juta kandungan berbahaya sejak 2022
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengemukakan lebih 1.2 juta permohonan kepada platform media sosial bagi menurunkan kandungan berbahaya sejak Januari 2022 yang mencerminkan cabaran keselamatan dalam talian semakin kompleks.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 Julai 2026, MCMC mengemukakan 1,216,088 permohonan kepada platform media sosial untuk menurunkan kandungan yang melanggar undang-undang dan memudaratkan pengguna.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,138,063 kandungan berjaya diturunkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri-La, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Suruhanjaya MCMC, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.
Beliau berkata, trend peningkatan permohonan itu semakin ketara apabila jumlah permohonan meningkat hampir 57 peratus, daripada 309,322 pada 2024 kepada 485,175 pada 2025.
Menurutnya, bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Julai 2026 sahaja, MCMC telah mengemukakan 377,502 permohonan iaitu hampir 78 peratus daripada keseluruhan permohonan yang direkodkan sepanjang tahun lalu.
“Ini bersamaan purata kira-kira 1,900 permohonan penurunan kandungan setiap hari.
“Dalam tempoh sama, platform media sosial telah menurunkan 350,332 kandungan berbahaya,” katanya.
Beliau berkata, statistik berkenaan menunjukkan skala sebenar cabaran keselamatan digital yang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, penyedia platform dan masyarakat.
Menurut beliau, keselamatan dalam talian perlu diterapkan sejak peringkat awal pembangunan platform digital, bukannya hanya diberi perhatian selepas sesuatu insiden berlaku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















