Kontinjen negara sedia harungi cabaran Sukan Komanwel Glasgow 2026
KUALA LUMPUR – Kontinjen Malaysia berada pada tahap terbaik untuk menghadapi cabaran di Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan persediaan rapi serta semangat juang tinggi dalam meraih kejayaan.
Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, beliau berpuas hati dengan tahap persediaan atlet selepas mengadakan beberapa siri lawatan ke kem latihan dan bertemu sendiri barisan atlet yang akan membawa cabaran negara pada temasya itu.
Menurutnya, momentum positif yang dipamerkan atlet memberikan keyakinan bahawa kontinjen negara mampu memberikan saingan, namun mereka perlu mengekalkan prestasi dan tahap kesihatan sehingga hari pertandingan.
“Alhamdulillah, kita sudah bersedia. Berdasarkan prestasi semasa, saya gembira melihat kesiapsiagaan dan semangat yang ditunjukkan oleh atlet untuk menghadapi Sukan Komanwel kali ini.
“Saya telah melawat kem latihan mereka dan hari ini turut bertemu dengan atlet. Momentum itu memang ada, tetapi perkara paling penting ialah memastikan mereka dapat mengekalkan prestasi ketika saingan bermula, sama ada di peringkat kelayakan, separuh akhir mahupun final,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, di sini.
Mengulas lanjut, Awalan berkata aspek disiplin akan diberikan perhatian serius sepanjang temasya berlangsung, lebih-lebih lagi apabila edisi kali ini tidak menyediakan perkampungan sukan seperti kebiasaan.
Sebaliknya, atlet negara akan ditempatkan di tiga hotel berasingan, sekali gus memerlukan kawalan dan pemantauan yang lebih sistematik terhadap pergerakan serta rutin harian mereka.
“Jadual keluar masuk hotel telah disediakan dan dimaklumkan kepada setiap pengurus pasukan. Atlet juga sudah mengetahui pergerakan masing-masing dan disiplin yang perlu dipatuhi.
“Begitu juga dengan aspek pemakanan. Jadual makan pagi, tengah hari dan malam telah disusun, manakala bagi acara yang berlangsung sepanjang hari, makanan turut disediakan di venue pertandingan,” katanya.
Awalan berkata, pengurus pasukan memainkan peranan penting dalam memastikan setiap atlet mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan agar tumpuan mereka tidak terjejas sepanjang temasya berlangsung.
Dalam pada itu, beliau berkata kontinjen negara akan menampilkan identiti Malaysia menerusi pemakaian batik pada majlis pembukaan Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dijadual berlangsung di arena tertutup The Hydro awal pagi esok.
Menurutnya, pemilihan batik sebagai pakaian rasmi bukan sahaja menyerlahkan warisan budaya negara, malah menjadi lambang identiti Malaysia di pentas antarabangsa.
“Pada upacara pembukaan nanti, kita akan mengenakan pakaian batik yang mempunyai identiti Malaysia. Reka bentuk dan warnanya melambangkan negara kita dan saya yakin ia akan menyerlah dalam kalangan kontinjen lain,” katanya.
Pada edisi Sukan Komanwel kali ini, Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan sasaran lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa, dengan acara angkat berat, berbasikal, boling padang, judo, powerlifting dan para olahraga dijangka menjadi penyumbang utama pingat buat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












