BERSAMA teruskan agenda di Johor, buka pejabat dan tunaikan janji PRN – Rafizi
KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) akan meneruskan usaha memperjuangkan isu rakyat di Johor walaupun gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk membuka pejabat di Johor Bahru serta melaksanakan komitmen yang dijanjikan sepanjang kempen.
Pengasas BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, keputusan itu dicapai selepas pertemuan bersama 15 calon sulung parti berkenaan yang bertanding pada PRN Johor baru-baru ini.
Menurut beliau, kesemua calon menyatakan komitmen untuk terus membina parti di peringkat akar umbi dan meneruskan perjuangan membantu rakyat.
“Walaupun tidak menang dan hilang deposit, semua calon menyatakan semangat untuk meneruskan usaha membina BERSAMA dari bawah serta menunaikan akujanji yang dibuat semasa berkempen,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Rafizi berkata, sebagai langkah awal, BERSAMA akan membuka sebuah pejabat di Johor Bahru dalam masa terdekat bagi dijadikan pusat aktiviti rakyat, memandangkan parti itu belum sempat menubuhkan pusat operasi sebelum PRN berlangsung.
Selain itu, katanya, parti berkenaan akan meneruskan perjuangan beberapa isu utama yang dibangkitkan sepanjang kempen, termasuk hak milik tanah kampung warisan di Johor Selatan melalui penubuhan badan bertindak.
Menurut beliau, BERSAMA juga akan memperjuangkan isu pemilikan rumah dalam kalangan golongan miskin yang menurutnya masih terperangkap dalam sistem penyewaan rumah kerajaan untuk tempoh yang panjang.
Dalam masa sama, parti itu akan memberi perhatian terhadap isu pengangkutan awam di Johor Selatan termasuk projek-projek pengangkutan awam berskala besar yang bakal dilaksanakan.
“BERSAMA juga akan menggerakkan kaunter bergerak untuk menerima aduan rakyat secara berterusan di samping membangunkan infrastruktur digital bagi memudahkan orang ramai menyalurkan isu kepada parti,” katanya lagi.
Rafizi berkata, usaha memperkukuh jentera akar umbi turut akan dipercepatkan bagi memastikan BERSAMA mempunyai organisasi yang lebih tersusun di Johor.
Mengulas prestasi parti pada PRN Johor, beliau menyifatkan penyertaan sulung BERSAMA sebagai permulaan yang positif walaupun semua calon tewas dan kehilangan wang deposit.
Katanya, jumlah undi yang diterima parti itu adalah lebih tinggi berbanding kebanyakan parti baharu sebelum ini, dengan purata melebihi ribuan undi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada sukarelawan, ahli dan penyokong yang membantu sepanjang kempen sambil menegaskan budaya menghargai sukarelawan akan terus menjadi amalan dalam BERSAMA.
“Apabila kita memilih untuk menyumbang melalui platform politik, kita tidak boleh dipengaruhi cacian atau tohmahan, terutama di media sosial.
“Kita perlu kekal fokus membantu rakyat dan memperjuangkan isu yang tidak diberi perhatian. Itu yang berada dalam kawalan kita,” katanya.
Menurut Rafizi, beliau juga akan lebih kerap turun ke Johor pada peringkat awal bagi membantu memperkukuh organisasi parti dan memperkenalkan barisan kepimpinan pelapis kepada masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















