Mayat wanita tangan, kaki terikat ditemukan di Sungai Pengerang
KOTA TINGGI – Polis telah memulakan siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita yang ditemukan terapung dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat di Sungai Tanjung Serindit, Ulu Papan, Pengerang, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 9 malam.
Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bersama Bahagian Forensik D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat menggunakan tali.
“Identiti serta kewarganegaraan mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Gudang untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki mempunyai unsur jenayah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Noor Azizi Indzam di talian 013-7878771 atau Hotline IPD Kota Tinggi di 07-8831222, selain boleh hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















