BERITA SEMASA

Hannah Yeoh hargai usaha DBKL bersihkan Dataran Merdeka, seru rakyat lebih bertanggungjawab

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh merakamkan penghargaan kepada petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertungkus-lumus membersihkan Dataran Merdeka selepas kawasan itu dipenuhi sampah susulan tayangan langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026, awal pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata pasukan DBKL bertindak pantas mengembalikan kebersihan dan keselesaan kawasan bersejarah itu walaupun orang ramai sudah meninggalkan lokasi.

“Terima kasih kepada pasukan DBKL yang segera turun membersihkan kawasan ini. Ketika orang ramai sudah pulang, mereka masih bekerja untuk mengembalikan kebersihan dan keselesaan Dataran Merdeka,” katanya.

Hannah berkata, beliau percaya rakyat Kuala Lumpur menyayangi bandar raya itu, namun mengakui berasa kecewa melihat keadaan Dataran Merdeka yang dipenuhi sampah selepas menjadi lokasi orang ramai berkumpul menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia.

BACA JUGA:
Dataran Merdeka dipenuhi sampah selepas tayangan final Piala Dunia 2026

Menurutnya, walaupun setiap pembayar cukai berhak menerima perkhidmatan terbaik daripada pihak berkuasa tempatan, masyarakat tidak seharusnya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab menjaga kebersihan kepada petugas awam.

dbkl
Kawasan padang di Dataran Merdeka yang sudah kembali bersih sekitar pukul 10 pagi tadi.

“DBKL mesti menjalankan tanggungjawabnya dan mereka melakukannya. Tetapi membuang sampah ke dalam tong merupakan perkara asas yang sepatutnya kita lakukan sendiri.

“Hak untuk menerima perkhidmatan tidak bermaksud semua tanggungjawab boleh diserahkan kepada petugas awam. Mereka tidak sepatutnya terpaksa membersihkan sampah yang sengaja kita tinggalkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi penganjuran acara, sebaliknya merupakan simbol sejarah negara dan maruah ibu negara yang perlu dipelihara bersama.

Hannah berkata, semangat Malaysia MADANI bukan hanya terletak pada keupayaan kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya, malah turut bergantung kepada kesedaran rakyat untuk memainkan peranan sebagai warga yang bertanggungjawab.

Beliau turut mengulangi penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kemajuan sesebuah negara bukan sahaja diukur melalui pembangunan fizikal, tetapi juga menerusi sikap masyarakat dalam menghormati dan menjaga ruang awam.

“Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jangan kotorkan rumah sendiri dan mengharapkan orang lain membersihkannya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button