BERITA SEMASA

DBKL gesa orang ramai pelihara kebersihan bandar walaupun musim perayaan

KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan tumpuan di pusat bandar dipenuhi sampah selepas sambutan Krismas malam tadi sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap kebersihan dan imej ibu negara.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan mengingatkan orang ramai supaya terus memelihara kebersihan bandar raya walaupun dalam suasana sambutan dan aktiviti malam perayaan yang semakin meriah.

“Orang ramai diingatkan agar tidak membuang sampah sesuka hati, sebaliknya menggunakan tong sampah yang telah disediakan serta bersama-sama memelihara kebersihan kawasan awam,” menurut kenyataan DBKL menerusi hantaran di Facebook.

Tambah DBKL, kerja-kerja pembersihan sentiasa dilaksanakan secara berterusan di sekitar kawasan pusat bandar bagi memastikan persekitaran kekal bersih, teratur dan selesa untuk semua lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan itu melahirkan kebimbangan apabila masih terdapat segelintir individu yang tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah merata-rata.

Menurut DBKL, sikap sambil lewa terhadap pengurusan sisa, terutamanya ketika orang ramai keluar beriadah dan meraikan perayaan pada waktu malam, boleh memberi kesan besar terhadap keselesaan ruang awam yang dikongsi bersama.

DBKL menegaskan, tanggungjawab menjaga kebersihan bandar bukan terletak kepada pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama dan kesedaran setiap individu.

“Sikap bertanggungjawab setiap warga kota mampu memberi impak besar dalam menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang bersih, berdaya huni dan mesra untuk semua,” tambah kenyataan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button