POLITIK

Semangat veteran BN tetap membara, usia bukan penghalang beri sokongan kepada calon

REMBAU – Faktor usia bukan penghalang buat seorang veteran Barisan Nasional (BN) untuk terus turun padang memberikan sokongan kepada parti pada penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, hari ini.

Normah Sharif, 66, berkata, semangat perjuangan yang dipupuk sejak sekian lama membuatkan beliau tetap hadir bersama penyokong lain bagi memberi sokongan moral kepada calon-calon BN yang bertanding.

“Hari ini kami berkumpul untuk sama-sama memberi sokongan kepada calon-calon BN.

prn negeri sembilan
Normah tetap bersemangat memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional. 

“Saya selaku veteran, walaupun sekarang sudah berusia 66 tahun, masih lagi bersemangat dan berminat untuk terus memberi sokongan kepada parti,” katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau, di sini.

Menurutnya, walaupun beliau merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi yang tidak menyaksikan calon BN bertanding, perkara itu tidak menghalangnya membantu jentera parti di kawasan lain.

“Walaupun saya dari DUN Paroi dan tiada calon daripada BN di sana, saya tetap membantu bahagian-bahagian lain yang berada di bawah Bahagian Rembau bagi memastikan calon-calon BN mencapai kemenangan,” katanya.

Normah turut menyuarakan keyakinan bahawa BN mampu mencatat kemenangan cemerlang di kawasan Parlimen Rembau pada PRN kali ini.

“Insya-Allah, kami berharap BN akan menang bergaya di Bahagian Rembau. Itulah harapan kami.

“Kami mahu ‘membirukan’ Negeri Sembilan. Kami mahu membawa Gelombang Biru dari Johor ke Negeri Sembilan dan seterusnya ke negeri-negeri lain sehingga ke Putrajaya,” katanya penuh semangat.

Bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Rembau menyaksikan pertandingan satu lawan satu dan tiga penjuru.

Bagi DUN Paroi, persaingan tiga penjuru membabitkan calon PH, Ahmad Shahir Mohd Shah yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau akan dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Kamarol Ridzuan Mohd Zin dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohd Nazree Mohd Yunus.

Bagi DUN Chembong pula, Datuk Zaifulbahri Idris daripada BN akan mempertahankan kerusinya dalam saingan satu lawan satu menentang calon PH, Danish Nazran Murad.

Di DUN Kota, penyandang BN, Suhaimi Aini berdepan pertandingan tiga penjuru apabila dicabar calon PH, Muhammad Allif Ibrahim dan calon BERSATU, Akmal Noradzmi Abdul Rahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 28 Julai, manakala hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ialah pada 1 Ogos.

PRN kali ini melibatkan seramai 889,490 pengundi berdaftar, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button