BERITA SEMASA

MCMC perkukuh kesedaran keselamatan dalam talian melalui karnival komuniti di Sook

SOOK – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh usaha meningkatkan literasi digital dan kesedaran keselamatan dalam talian menerusi penganjuran Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat peringkat daerah Sook, Sabah.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta beberapa agensi kerajaan lain itu telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Menurut MCMC, penganjuran karnival berkenaan mencerminkan komitmen berterusan suruhanjaya itu untuk memastikan setiap lapisan masyarakat, termasuk komuniti luar bandar dan pedalaman, memiliki pengetahuan serta kemahiran bagi melindungi diri daripada ancaman dalam talian.

Mcmc
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat peringkat daerah Sook, Sabah.

“Bagi masyarakat di kawasan seperti Sook, program seumpama ini bukan sahaja meningkatkan tahap literasi digital, malah membantu mereka mengenal pasti risiko siber, mengelakkan penipuan dalam talian dan memanfaatkan teknologi digital secara lebih yakin serta bertanggungjawab.

“Pendekatan itu turut menyokong usaha negara memperkukuh keselamatan dalam talian menerusi gabungan pendidikan, kesedaran awam dan kerangka kawal selia yang lebih menyeluruh bagi memastikan ruang digital kekal selamat untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mcmc
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat peringkat daerah Sook, Sabah. 

Sepanjang karnival itu katanya, peserta didedahkan kepada pelbagai topik berkaitan keselamatan internet, termasuk langkah pencegahan penipuan dalam talian, perlindungan wanita dan kanak-kanak daripada jenayah seksual siber serta amalan e-dagang yang selamat.

Sementara itu katanya, pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan bagi menyampaikan mesej keselamatan dalam talian secara lebih mudah difahami, menarik dan dekat dengan komuniti setempat.

“Sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan kesedaran di peringkat akar umbi, MCMC turut melantik Wira Internet Selamat dalam kalangan komuniti setempat bagi membantu menyebarkan mesej penggunaan internet yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya.

Dalam lawatannya ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Sook, Arthur turut meninjau pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan kemahiran digital yang memberi manfaat kepada komuniti melalui pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran serta peluang ekonomi.

MCMC menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh literasi digital rakyat dan membina masyarakat yang lebih berdaya tahan terhadap ancaman siber, sejajar dengan aspirasi negara mewujudkan persekitaran digital yang selamat, dipercayai dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button