POLITIK

Aminuddin sedia galas cabaran, akui bukan mudah rampas kubu BN di Linggi

PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan pencalonannya di kerusi yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) sebagai satu cabaran besar, namun beliau bersedia menghadapinya pada Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, segala persiapan jentera dan program kempen telah disusun, dengan fokus kini terarah kepada usaha mendekati pengundi serta membawa isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

Menurutnya, semua calon PH di setiap DUN juga perlu memberi komitmen penuh sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan dengan berkesan.

“Insya-Allah kita telah gerakkan jentera dan saya yakin persiapan telah kita uruskan. Program-program kempen juga telah kita aturkan.

“Saya berharap bukan saya sahaja, tetapi rakan-rakan yang lain di setiap DUN bersedia untuk menumpukan perhatian serius kepada isu kempen dan berjumpa dengan pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, di sini hari ini.

Baca juga : PRN Negeri Sembilan: Aminuddin Harun cabar kubu BN di Linggi

Mengulas keputusan bertanding di DUN Linggi, Aminuddin berkata, beliau sendiri menawarkan diri kepada kepimpinan PH untuk bertanding di kerusi berkenaan walaupun menyedari cabaran besar yang menanti.

“Ini adalah kubu Barisan Nasional (BN). Saya pasti banyak cabarannya. Saya tidak kata ia mudah, tetapi ini satu cabaran dan saya sendiri menawarkan diri kepada kepimpinan untuk turun ke Linggi.

“Mereka (pimpinan PH) banyak kali bertanya, saya kata saya cuba, saya kena berani memperjuangkan Pakatan Harapan di DUN Linggi,” katanya.

Aminuddin sebelum ini merupakan penyandang kerusi DUN Sikamat selama empat penggal sebelum berpindah kawasan untuk bertanding di Linggi pada PRN16.

Pada PRN16, Ahli Parlimen Port Dickson itu bakal berdepan saingan tiga penjuru dalam usahanya meraih kemenangan pertama di DUN Linggi pada 1 Ogos depan.

Beliau akan dicabar penyandang kerusi itu daripada BN, Datuk Mohd Faizal Ramli serta calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Zamri Md Said yang turut bertanding buat kali kedua di DUN berkenaan.

DUN Linggi merupakan kubu kuat BN apabila pada PRN 2023, Mohd Faizal mempertahankan kerusi itu selepas memperoleh 7,832 undi, menewaskan Zamri yang ketika itu bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dengan 6,371 undi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button