BERITA SEMASA

Kutipan Larian Kesyukuran Muar cecah RM361,848

MUAR – Kutipan dana sempena Larian Kesyukuran Muar yang dianjurkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencecah RM361,848 selepas dua hari, sekali gus melepasi sasaran awal RM200,000 yang ditetapkan bagi acara tersebut.

Syed Saddiq berkata, jumlah kutipan itu jauh melebihi jangkaannya dan membuktikan sokongan padu rakyat terhadap usaha yang dilaksanakan.

“RM361,848. Sejujurnya saya sendiri masih terkejut melihat angka ini.

“Ini bukan lagi perjalanan saya seorang. Ini perjalanan kita bersama,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan sumbangan serta memberikan sokongan sepanjang kempen berkenaan.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua yang menyumbang, berkongsi dan terus memberikan sokongan,” katanya.

Menurut Syed Saddiq, sasaran asal kutipan dana itu ialah RM200,000 bagi membiayai pelbagai program kebajikan dan pendidikan untuk manfaat penduduk di kawasan Parlimen Muar, namun sasaran berkenaan berjaya dicapai lebih awal berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Larian sejauh hampir 200 kilometer itu diadakan sebagai tanda kesyukuran selepas beliau dibebaskan daripada sabitan dan hukuman yang dihadapinya sebelum ini.

Cabaran tersebut bermula di Istana Kehakiman, Putrajaya dan dijadualkan berakhir di Laman Maharani, Muar selepas melalui beberapa lokasi di Negeri Sembilan dan Johor.

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq turut berdepan cabaran fizikal apabila mengalami kekejangan otot di seluruh badan pada hari kedua larian sehingga terpaksa berjalan bagi menamatkan tiga kilometer terakhir, namun beliau tetap meneruskan cabaran itu sehingga ke garisan penamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button