Seorang lagi pelajar jatuh dari bangunan di SMKA Tun Datu Mustapha, namun tiada unsur jenayah atau buli – JPN Sabah
KOTA KINABALU – Seorang pelajar dilaporkan terjatuh dari tingkat satu bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 15 Julai lalu, iaitu dua hari sebelum genap setahun kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Dalam kejadian itu, pelajar berkenaan tidak mengalami kecederaan serius namun telah dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah memaklumkan siasatan telah dijalankan dan dapatan awal mendapati tiada unsur jenayah atau buli dalam insiden tersebut.
Bagaimanapun, kejadian berkenaan mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak, termasuk peguam Datuk Ram Singh yang menyifatkan insiden berulang di sekolah sama sebagai sesuatu yang membimbangkan.
Beliau mempersoalkan mengapa kejadian seumpama itu masih berlaku ketika inkues kematian Zara Qairina masih berlangsung, selain menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani isu tingkah laku dan keselamatan pelajar di sekolah.
“Hari ini terdapat begitu banyak kes kanak-kanak jatuh dari bangunan. Ia seolah-olah sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan pelajar,” katanya pada sidang media selepas prosiding inkues Zara Qairina minggu ini.
Ram turut mempersoalkan tindakan JPN Sabah yang hanya mengeluarkan kenyataan dua hari selepas kejadian berlaku dan berharap pelajar terbabit menerima rawatan serta kaunseling yang sewajarnya.
Sementara itu, prosiding inkues kematian Zara Qairina hari ini turut mendengar keterangan Pakar Perunding Psikiatri, Dr Wong Haw Huo, yang memaklumkan pasukannya mengambil kira faktor kesihatan mental bapa mangsa sebagai antara aspek yang dinilai dalam siasatan.
Menurut beliau, sesetengah gangguan mental seperti kemurungan dan gangguan kurang daya tumpuan serta hiperaktif (ADHD) boleh mempunyai kecenderungan diwarisi, namun pihaknya tidak dapat mengesahkan hipotesis berkenaan kerana Zara tidak pernah menjalani pemeriksaan psikiatri.
Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama perempuan sekolah itu pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian akibat kecederaan yang dialaminya.
Prosiding inkues akan disambung semula bulan hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















