JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita warga Rohingya didakwa buang janin di hotel

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang wanita warga Rohingya berusia 19 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes pembuangan janin di sebuah hotel di Bukit Indah awal bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan janin yang dibungkus di dalam plastik di sebuah lorong sekitar Taman Nusa Idaman, Bukit Indah, pada pukul 2.39 pagi pada 5 Julai lalu.

Beliau berkata, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di lokasi kejadian pada pukul 4 pagi, disusuli penahanan wanita berkenaan di sebuah hotel di Bukit Indah tidak lama kemudian.

“Siasatan mendapati janin yang ditemui adalah anak kepada suspek wanita yang baru dilahirkan hasil hubungan dengan bekas teman lelakinya.

“Suspek dipercayai melahirkan bayi itu di dalam tandas bilik hotel sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik berwarna hitam dan membuangnya melalui tingkap bilik di tingkat dua hotel ke lorong di bawah bangunan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek lelaki memiliki dua rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah, sementara suspek wanita didapati tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek juga didapati negatif dadah.

Beliau berkata, lelaki terbabit ditahan reman selama empat hari bermula 5 hingga 8 Julai lalu, manakala wanita berkenaan ditahan reman selama 14 hari bermula 5 Julai lalu hingga esok mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor dan suspek wanita didakwa di Mahkamah Johor Bahru hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala suspek lelaki dijadikan saksi pendakwaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button