BERITA SEMASA

USIM, UIN Bukittinggi perbaharui MoU strategik perkukuh kerjasama akademik serantau

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Islam Negeri (UIN) Sjech M Djamil Djambek Bukittinggi, Indonesia dalam usaha memperluas jaringan kerjasama akademik Islam di peringkat serantau.

Majlis itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor pada 14 Julai 2026.

Profesor Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani menegaskan bahawa MoU tersebut bukan sekadar pembaharuan perjanjian, sebaliknya menjadi platform penting bagi memperkasa kecemerlangan akademik dan penyelidikan melalui kolaborasi yang lebih tersusun serta berimpak tinggi.

“MoU ini bukan sekadar dokumen, tetapi satu permulaan kepada hubungan strategik yang kita harapkan dapat diterjemahkan kepada kerjasama akademik, penyelidikan dan pembangunan insan yang lebih bermakna antara USIM dan UIN Sjech M. Djamil Djambek Bukittinggi,” katanya semasa ucapan

Majlis tersebut menandakan pembaharuan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi selepas perjanjian terdahulu berakhir pada tahun 2022.

Pemeteraian MoU itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan akademik berasaskan kesaksamaan, saling menghormati dan manfaat bersama.

Majlis menandatangani MoU disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani, manakala UIN Sjech M. Djamil Djambek Bukittinggi diwakili oleh Dekan Fakulti Ushuluddin, Adab dan Dakwah, Prof Dr Syafwan Rozi, M.Ag.

Melalui MoU itu, USIM dan UIN Sjech M. Djamil Djambek Bukittinggi akan meneroka pelbagai bidang kerjasama termasuk mobiliti pelajar, staf akademik, penyelidik dan pentadbir, pembangunan program akademik bersama, penyelidikan dan inovasi, pertukaran penerbitan ilmiah serta sumber akademik.

Kerjasama itu turut dijangka membuka lebih banyak peluang kepada warga kedua-dua universiti untuk terlibat dalam program mobiliti, pembangunan profesional, penerbitan bersama dan perkongsian kepakaran yang mampu meningkatkan daya saing institusi di peringkat antarabangsa.

Beliau turut menyatakan bahawa persamaan visi kedua-dua institusi dalam memartabatkan pendidikan tinggi Islam, memperkukuh penyelidikan dan membangunkan modal insan ummah akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi nilai tambah kepada kedua-dua universiti.

Pemeteraian MoU itu memperkukuh kedudukan USIM sebagai universiti Islam yang aktif memperluas jaringan global, khususnya dengan institusi pendidikan tinggi serantau.

Inisiatif itu mendokong aspirasi USIM dalam memacu Integrasi Ilmu menerusi kerjasama akademik, penyelidikan, dan pembangunan modal insan yang signifikan buat ummah serta masyarakat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button