BERITA SEMASA

Remaja lelaki terselamat, adik perempuan maut dalam kebakaran

KUCHING – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut manakala seorang remaja lelaki cedera selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong 5, Permai Jaya, Tupong Ulu, awal pagi ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Nurmanisha Khamis, manakala Mohd Rayyan Mohd Faizal, 14, yang cedera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu, kebakaran memusnahkan hampir 70 peratus struktur rumah dua tingkat jenis kekal berkenaan.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.23 pagi sebelum mengerahkan 17 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Tabuan Jaya ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan terdapat dua remaja masih terperangkap di dalam rumah yang sedang terbakar.

“Anggota bomba kemudian melancarkan operasi menyelamat menggunakan teknik ofensif dengan meredah asap tebal dan api marak untuk membawa keluar kedua-dua mangsa,” memetik BH online.

Bagaimanapun, Nurmanisha disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sejurus berjaya dikeluarkan dari rumah berkenaan.

Mohd Rayyan pula dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
Operasi pemadaman yang turut dibantu polis dan petugas KKM berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 3.14 pagi sebelum ditamatkan pada jam 3.40 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button