UMNO Kedah bidas kenyataan Ramasamy
ALOR SETAR – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy diminta untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam memberikan pendapat bagi memelihara kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Menurut Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, Ramasamy tidak boleh menyalahgunakan hak kebebasan bersuara agar keharmonian rakyat di negara ini sentiasa terjaga.
“Merujuk kepada kenyataan peribadi beliau yang menuduh dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam baru-baru ini, ingin ditegaskan bahawa tuduhan itu adalah tidak benar dan hanya berteraskan persepsi beliau semata-mata.
“Malah istilah ‘dominasi’ tidak sepatutnya digunakan Ramasamy untuk menyifatkan amalan pengambilan penjawat awam kerana sistem yang digunakan adalah berdasarkan kelayakan merit, dan bukan berdasarkan kaum, agama atau warna kulit,” tegasnya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya lagi, tuduhan itu adalah tidak benar dan hanya berteraskan persepsi beliau semata-mata.
Tambah Shaiful Hazizy, kenyataan yang dikeluarkan Ramasamy juga tidak rasional dan beliau juga dinasihatkan untuk menggunakan pendekatan lain sekiranya mahu memberikan pendapat.
“Ramasamy sepatutnya menjadikan kelebihan Kerajaan Perpaduan untuk menyuarakan pandangan yang lebih baik bagi memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat, bukan memecah-belahkan.
“Justeru itu, saya meminta Ramasamy agar berlapang dada dan ayuh kita gunakan kelebihan Kerajaan Perpaduan ini untuk membina Malaysia Madani yang lebih dinamik,” katanya.
Terdahulu, Ramasamy dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam supaya ia tidak lagi hanya didominasi oleh satu kaum.
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu hari ini mendakwa, beberapa penerbitan memutar belit hantaran Facebook peribadinya yang meminta pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam negara.