BERITA SEMASA

KPM mahu rapatkan jurang digital menerusi RPM 2026-2035

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) komited merapatkan jurang digital dalam pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 menerusi pemantapan prasarana pendidikan di seluruh negara tanpa mengira lokasi bandar atau luar bandar.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, semua sekolah disasarkan dilengkapi capaian internet berkelajuan tinggi menggunakan pendekatan serta teknologi bersesuaian bagi memastikan murid dan guru mendapat akses kepada pendidikan digital.

Menurut beliau, KPM turut menyasarkan semua murid mencapai sekurang-kurangnya tahap kompetensi digital pertengahan berdasarkan Digital Competency Score.

“Usaha itu diperkukuhkan menerusi Dasar Pendidikan Digital serta penggunaan platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) yang menyediakan bahan pembelajaran digital kepada murid dan guru.

“Semua bahan dan input digital telah dimuat naik ke platform DELIMa. Bagi menyokong usaha ini, kita akan memastikan sekolah-sekolah dilengkapi kemudahan internet berkelajuan tinggi.

“Langkah ini penting bagi memastikan anak-anak dan guru mendapat akses terus kepada internet serta agenda pendidikan digital dapat dilaksanakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) di Dewan Rakyat hari ini.

Kah Woh berkata, KPM turut memastikan penyaluran peranti digital dan sumber pendidikan dilaksanakan secara adil serta saksama kepada semua sekolah bagi mengurangkan jurang akses antara kawasan bandar dan luar bandar.

Menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau), beliau berkata menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, jurang pencapaian Gred Purata Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 antara murid bandar dan luar bandar berjaya dikurangkan sebanyak 26.23 peratus.

Selain itu, jurang kelayakan memperoleh sijil SPM berdasarkan jantina turut berkurangan sebanyak 52.78 peratus, manakala jurang berdasarkan status sosioekonomi mencatat pengurangan 57.75 peratus.

Kah Woh berkata, KPM akan memastikan akses kepada pendidikan berkualiti diberikan secara menyeluruh di seluruh negara, selain memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur serta pembaikan sekolah daif mengikut keperluan setempat.

“Sementara itu spek kesejahteraan guru kekal menjadi fokus kementerian dengan tujuh langkah mengurangkan beban tugas guru yang diperkenalkan sejak 2023 terus diperkasakan.

“Antara langkah berkenaan termasuk menghapuskan proses perekodan yang bertindih dan tidak diperlukan bagi memastikan guru dapat memberi tumpuan kepada tugas utama mendidik,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button