IRC 2026: Bukti komitmen kerajaan perkukuh kawal selia ekosistem digital
KUALA LUMPUR – Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (International Regulatory Conference – IRC) 2026 yang memasuki tahun ketiga penganjurannya pada 21 dan 22 Julai ini menjadi bukti komitmen berterusan kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memperkukuh kerangka kawal selia ekosistem digital negara yang lebih selamat, mampan dan berdaya tahan.
Persidangan anjuran Kementerian Komunikasi menerusi MCMC itu bakal menghimpunkan pengawal selia, penggubal dasar, pemimpin industri, ahli akademik serta pakar teknologi dari dalam dan luar negara bagi membincangkan cabaran serta hala tuju pengawalseliaan digital ketika dunia berdepan perkembangan pesat teknologi baharu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dijadual merasmikan persidangan yang bertemakan ‘Digital Horizons: Safeguarding, Empowering and Thriving in the Connected Age’.

MCMC dalam kenyataannya berkata, IRC 2026 akan menjadi platform strategik bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan komuniti antarabangsa dalam merangka dasar digital yang mampu mengimbangi inovasi teknologi, keselamatan siber serta perlindungan pengguna.
Persidangan selama dua hari itu akan memberi tumpuan kepada pelbagai isu kritikal termasuk kecerdasan buatan (AI), keselamatan dalam talian, teknologi kuantum, robotik, perlindungan data, kesejahteraan digital dan pembangunan bakat masa depan.
Sebanyak 10 sesi dialog melibatkan 35 tokoh dan pakar daripada pelbagai agensi kerajaan, syarikat teknologi global, organisasi antarabangsa, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan akan berkongsi pandangan mengenai cabaran serta masa depan pengawalseliaan digital.
BACA JUGA:
MCMC anjur Persidangan IRC 2026, fokus perkukuh tadbir urus digital dan kepercayaan
IRC 2026 himpun pakar global bincang AI, keselamatan siber dan masa depan ekosistem digital
Dari inovasi ke regulasi, IRC 2026 kembali perkasa agenda kawal selia digital
Persidangan dimulakan dengan ucaptama Ahli Suruhanjaya MCMC, Derek John Fernandez sebelum diteruskan dengan sesi khas bertajuk ‘Balancing Safety and Freedom: How Can We Protect Minors Online Without Stifling Their Digital Growth’ yang membincangkan usaha melindungi kanak-kanak di ruang siber tanpa menjejaskan perkembangan dan literasi digital mereka.

Empat dialog pada hari pertama akan mengupas isu keselamatan dalam talian, kedaulatan data dan privasi, keseimbangan antara dasar kawal selia dan pembangunan ekonomi, serta peranan AI dalam bidang kemanusiaan.
Antara panel yang mengambil bahagian ialah wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), UNICEF, Ericsson, Maxis, Sea dan Shopee Malaysia, PwC Consulting Asia Tenggara, CyberSecurity Malaysia, IMDA Singapura serta ISIS Malaysia.
Hari kedua pula memberi fokus kepada teknologi masa hadapan menerusi perbincangan mengenai teknologi kuantum, robotik, kebergantungan digital dan kesejahteraan mental, kerjasama kawal selia serantau, transformasi industri berasaskan inovasi serta pembangunan bakat dan kemahiran digital.
Panel pada hari kedua membabitkan pakar daripada IBM Quantum, Huawei Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Internet Society (ISOC), Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Kementerian Kesihatan Malaysia, U Mobile serta Badan Penyelarasan TVET Industri-Kerajaan (GITC).

Rumusan keseluruhan persidangan akan disampaikan oleh Ketua Perancangan Strategik dan Keahlian ITU, Sulyna Abdullah.
Menurut MCMC, penganjuran IRC bagi tahun ketiga berturut-turut mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berada di hadapan dalam perbincangan mengenai dasar dan kawal selia digital di peringkat serantau serta antarabangsa.
Persidangan itu juga dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab dialog dasar digital, sekali gus menyokong aspirasi negara membangunkan ekosistem digital yang selamat, inklusif, dipercayai dan mampu memacu pertumbuhan ekonomi digital negara.
Pada edisi pertama, IRC 2024 mengangkat tema Mengangkat tema ‘Menyelaras Inovasi Dengan Keselamatan Untuk Masa Depan Mampan’ yang memberi fokus terhadap perbincangan pelbagai inovasi, teknologi baharu, rangka kerja kawal selia dan kaedah dalam lingkungan industri komunikasi dan multimedia.
Sementara itu, penganjuran edisi kedua, IRC 2025 pula bertemakan ‘Melangkah ke Hadapan dalam Era Kuantum: Kawal Selia dan Inovasi dalam Era Teknologi’ yang membincangkan perkembangan landskap digital dengan fokus kepada teknologi termaju dan rangka kerja pengawalan penting dalam menangani cabaran dan peluang era moden.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








