BERITA SEMASA

Kerajaan tidak berhasrat kurangkan subsidi, bantuan sedia ada

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhasrat untuk mengurangkan mana-mana subsidi atau bantuan sedia ada termasuk Program BUDI MADANI (BUDI95), subsidi diesel, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, pendirian itu kekal meskipun dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global.

“Kerajaan tidak akan mengurangkan apa jua subsidi atau bantuan sedia ada. Itulah pendirian kerajaan pada ketika ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH – Hulu Langat) sama ada kerajaan akan mengurangkan subsidi bahan makanan lain dan bantuan sedia ada kepada rakyat susulan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Terdahulu, ketika menjawab menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai penilaian terkini kerajaan terhadap kesan konflik di Asia Barat terhadap perbelanjaan subsidi bahan api, Chin Tong berkata, konflik memberi tekanan ketara kepada pasaran tenaga global dan menyebabkan ketidaktentuan harga minyak mentah dunia.

Jelas beliau, kerajaan menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026.

“Subsidi pada Mei dan Jun pula menyederhana kepada sekitar RM4 bilion. Harga minyak terus menyederhana pada Julai dan sekiranya harga pasaran semasa ini kekal, kerajaan dijangka akan menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi 2026 tertakluk kepada perkembangan krisis di Asia Barat.

“Walaupun kenaikan harga minyak meningkatkan perbelanjaan subsidi, ia juga menyumbang kepada peningkatan hasil berkaitan petroleum.

“Setiap perubahan sebanyak 1 USD setong kepada harga minyak mentah dunia dianggarkan memberi impak sekitar RM300 juta kepada hasil berkaitan petroleum Kerajaan Persekutuan, tidak termasuk dividen PETRONAS,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button