BERITA SEMASA

Kerugian scam dalam talian cecah RM5.37 bilion sejak 2024

KUALA LUMPUR – Jenayah penipuan dalam talian terus membimbangkan apabila merekodkan kerugian keseluruhan sebanyak RM5.37 bilion bagi tempoh 2024 hingga Mei 2026, dengan kes pelaburan tidak wujud menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerugian akibat pelaburan tidak wujud mencecah RM2.68 bilion atau 49.9 peratus daripada keseluruhan kerugian yang direkodkan.

Menurut beliau, jenayah telekomunikasi pula mencatatkan kerugian sebanyak RM1.54 bilion (28.7 peratus), diikuti jenayah e-kewangan RM660.64 juta (12.3 peratus).

“Kerugian akibat jenayah e-dagang berjumlah RM250.81 juta (4.7 peratus), manakala pinjaman tidak wujud merekodkan RM138.92 juta (2.6 peratus) dan scam cinta sebanyak RM111.08 juta (2.1 peratus).

“Secara keseluruhan, kes pelaburan tidak wujud, jenayah telekomunikasi dan jenayah e-kewangan menyumbang lebih 90 peratus daripada jumlah kerugian keseluruhan iaitu RM4.88 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam.

Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) berhubung jumlah kerugian yang dialami mangsa penipuan dalam talian mengikut kategori bagi tahun 2024, 2025 dan 2026.

Saifuddin berkata, kerajaan terus memperkukuh peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) sebagai pusat sehenti bagi menangani kes penipuan dalam talian dengan lebih berkesan.

“NSRC menghimpunkan kepakaran Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta institusi kewangan bagi membolehkan tindakan segera diambil terhadap laporan yang diterima.

“Melalui talian 997, tindakan menyekat aliran wang mangsa dapat dilaksanakan dalam tempoh kritikal bagi menghalang dana dipindahkan keluar daripada sistem perbankan tempatan.

“Pada masa sama, PDRM turut mempergiatkan siasatan berasaskan risikan dan analisis forensik kewangan termasuk mengesan aliran wang, membongkar rangkaian akaun keldai serta melaksanakan operasi bersepadu dan tangkapan bersasar terhadap sindiket penipuan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, kerajaan memperkukuh aspek penguatkuasaan menerusi pelaksanaan peruntukan di bawah Seksyen 424A hingga 424D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap kesalahan penipuan dalam talian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button