DUN Melaka lulus pindaan Perlembagaan negeri, buka laluan lantik tujuh ADUN
AYER KEROH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan sehingga tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan diwujudkan di negeri itu.
Usul yang dibentangkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mendapat sokongan 23 ADUN termasuk tiga wakil pembangkang, manakala lima ADUN Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada empat wakil DAP dan seorang wakil Amanah tidak menyokong pindaan berkenaan.
Pindaan itu membolehkan kerajaan negeri melantik sehingga tujuh ADUN lantikan daripada pelbagai latar belakang bagi menyumbang kepada proses penggubalan dasar dan perbahasan di DUN.
Menurut Ab Rauf, bilangan 28 ADUN yang dipilih melalui pilihan raya kekal tidak berubah dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta Enakmen No. 5 Tahun 2003.
Beliau berkata, pelantikan ADUN lantikan bertujuan memperkukuh fungsi legislatif negeri dengan membawa masuk individu yang mempunyai kepakaran serta pengalaman dalam bidang seperti perundangan, ekonomi, pendidikan, pelaburan, teknologi dan pembangunan negeri.
“Langkah ini juga membuka ruang kepada golongan yang kurang diwakili seperti wanita, belia, Orang Asli, komuniti minoriti, profesional dan wakil industri untuk menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang tersebut pada Persidangan DUN Melaka, di sini hari ini.
Menurut beliau, kewujudan ADUN lantikan dijangka meningkatkan kualiti perbahasan dan proses semak imbang kerana mereka mampu memberikan pandangan yang lebih teknikal, profesional dan objektif terhadap rang undang-undang serta dasar kerajaan negeri.
“Pelantikan sedemikian turut diamalkan di beberapa negeri lain sebagai mekanisme untuk memperkukuh institusi legislatif dan memastikan komposisi DUN lebih inklusif,” katanya lagi.
Ab Rauf berkata, setiap ADUN lantikan perlu diluluskan menerusi usul yang disokong sekurang-kurangnya tujuh ADUN dan mendapat majoriti mudah sebelum dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri.
“Individu yang dilantik mestilah bermastautin di Melaka dan mereka berhak mengambil bahagian dalam perbahasan serta jawatankuasa DUN.
“Bagaimanapun, mereka tidak layak dilantik sebagai Ketua Menteri atau Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco),” katanya lagi.
Beliau turut berkata, kerusi ADUN lantikan boleh dikosongkan sekiranya penyandang meletakkan jawatan, dipecat melalui usul DUN, pelantikannya ditamatkan atau apabila DUN dibubarkan.
Selain itu, Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Ketua Menteri mempunyai kuasa menamatkan pelantikan seseorang ADUN lantikan tanpa perlu memberikan alasan sekiranya tindakan itu dianggap perlu demi kepentingan negeri, keselamatan atau dasar kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








