BERITA SEMASA

Operasi roboh tokong tertera kalimah suci Islam ditangguh sehari

JASIN – Operasi perobohan sebuah tokong di Persisiran Pantai Siring, dekat sini yang tertera kalimah Allah dan Bismillahirrahmanirrahim ditangguhkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan berkata, penangguhan selama sehari itu dibuat bagi memberi laluan kepada proses pengosongan rumah ibadat berkenaan, lapor SH Online.

Tambahnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat rakan-rakan bukan Islam yang memaklumkan terdapat ritual tertentu melibatkan proses pemurnian atau penyucian yang perlu dihormati.

“Keputusan Exco bersama saya sebelum ini adalah untuk melaksanakan perobohan pada petang ini. Namun, selepas menerima nasihat daripada rakan-rakan bukan Islam mengenai keperluan ritual, kita tangguhkan proses tersebut.

“Kita beri ruang kepada pemilik untuk mengambil bahan-bahan suci mereka dan memindahkannya ke tempat penyembahan lain. Selepas itu, barulah proses perobohan akan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan ke lokasi tokong berkenaan, hari ini.

Selepas proses itu selesai, katanya, pihak berkuasa akan menyusun tindakan bersama agensi terlibat bagi merobohkan struktur tidak berdaftar yang dibina di atas tanah kerajaan berhampiran Pantai Siring tersebut.

Ketika diminta mengulas isu contengan kalimah suci, Zaidi berkata, perbuatan itu bukan sahaja berlaku di rumah penyembahan berkenaan, malah turut dikesan di kawasan lain termasuk pagar dan tiang elektrik.

“Saya dimaklumkan pihak berkuasa telah mengenal pasti individu terlibat, yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

“Walaupun perbuatannya mungkin dianggap biasa oleh individu tersebut, namun ia jelas menyentuh sensitiviti agama,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak melulu dalam isu melibatkan sensitiviti agama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button