Messi akhirnya berdepan England selepas 21 tahun menanti
LONDON – Lionel Messi akhirnya bakal menentang England buat kali pertama dalam karier antarabangsanya apabila Argentina dijadual berdepan skuad Three Lions pada aksi separuh akhir Piala Dunia, awal pagi Khamis ini.
Pertembungan yang turut menjadi pertemuan keenam antara kedua-dua pasukan di pentas Piala Dunia itu menyaksikan pemenang akan melangkah ke pentas final.
Walaupun sudah lebih dua dekad mewakili Argentina dan berdepan pelbagai pasukan gergasi dunia, Messi tidak pernah beraksi menentang England di peringkat antarabangsa.
Peluang pertama itu sepatutnya hadir pada aksi persahabatan di Geneva pada November 2005, namun penyerang berusia 39 tahun itu terlepas perlawanan berkenaan selepas menjalani penggantungan.
Ketika itu, Messi baru memulakan karier bersama skuad senior Argentina dan sepatutnya membuat penampilan keduanya, namun kad merah kontroversi ketika penampilan sulung menentang Hungary menyebabkan beliau tidak dapat diturunkan.
Pengulas talkSPORT, Max Scott berkata, rekod Messi ketika menentang kelab dari England sememangnya menggerunkan apabila meledak 27 gol dalam 35 perlawanan sepanjang lebih 15 tahun.
“Jadi secara semula jadi, penyokong England pasti bimbang dengan ancaman yang mampu diberikan Messi.
“Tetapi seperti yang disebut, dia tidak pernah bermain menentang pasukan kebangsaan England. Ada dua sebab mengenainya.
“Pertama, ketika England bertemu Argentina dalam aksi persahabatan pada 2005, Messi digantung kerana dia dilayangkan kad merah hanya 47 saat selepas melakukan debut antarabangsa, tiga bulan sebelum itu.
“Dalam perlawanan menentang Hungary itu, dia masuk sebagai pemain gantian, melakukan larian seperti Maradona sebelum bertindak balas terhadap cabaran pemain lawan. Pengadil kemudian melayangkan kad merah,” katanya memetik laporan talkSPORT.
Dalam aksi persahabatan itu, England yang ketika itu dibimbing Sven-Goran Eriksson menewaskan Argentina 3-2 hasil jaringan Wayne Rooney dan dua gol lewat Michael Owen.
Sejak itu, kedua-dua negara tidak lagi bertemu dalam aksi persahabatan, antaranya disebabkan faktor komersial.
Menurut Scott, Argentina kini muncul antara pasukan kebangsaan paling bernilai selepas menjuarai Piala Dunia dengan pendapatan penajaan dianggarkan sekitar £60 juta (RM326 juta) setahun.
Beliau berkata, mana-mana pasukan yang ingin mengatur aksi persahabatan menentang Argentina perlu membayar antara £3 juta hingga £4 juta (RM16.3 juta hingga RM21.8 juta), selain mengambil kira faktor perjalanan yang jauh.
“Persatuan Bolasepak England (FA) pada dasarnya memilih untuk tidak membayar kos itu dan menunggu pertemuan yang lebih besar.
“Dan kini, perlawanan besar itu tiba separuh akhir Piala Dunia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








