Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand pacu pembangunan wilayah utara – Anwar
KUALA LUMPUR – Kerajaan mempergiat usaha membangunkan wilayah utara negara menerusi Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar utama seperti Lembah Klang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu merupakan antara fokus utama dalam strategi pembangunan negara yang memberi penekanan kepada kawasan sempadan di utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.
Menurut beliau, pelbagai projek infrastruktur dan logistik sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kesalinghubungan serta merangsang aktiviti ekonomi rentas sempadan.
“Kerajaan telah memperuntukkan RM327 juta bagi pembangunan kluster logistik Perlis Inland Port (PIP) yang menyasarkan kapasiti pengendalian 300,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada fasa pertama.
“PIP juga bakal dihubungkan dengan rangkaian rel serantau yang menjangkau sehingga Laos,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan pembinaan Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang melibatkan kos RM45 juta bagi memperkukuh aktiviti perdagangan dan pergerakan di kawasan sempadan.
Selain itu, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diperluaskan dari Tumpat ke Rantau Panjang dengan cadangan penyambungan terus ke Thailand melalui kerjasama Kementerian Pengangkutan.
Anwar berkata, pembangunan ekonomi wilayah utara turut dipacu menerusi projek strategik seperti Chuping Valley Industrial Area di Perlis, Kulim Hi-Tech Park di Kedah dan Kedah Rubber City (KRC).
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa manfaat pembangunan tersebut akan turut dinikmati perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya usahawan Bumiputera di kawasan utara Semenanjung.
“Menerusi program PowerUp 10K, pembiayaan yang diluluskan sehingga Jun lalu mencecah RM400 juta di Kelantan, RM287 juta di Kedah dan RM45 juta di Perlis.
“Pembangunan ini bukan hanya melibatkan syarikat besar, tetapi mesti memberi manfaat kepada usahawan tempatan dan masyarakat setempat melalui peluang ekonomi serta peningkatan pendapatan,” katanya lagi.
Anwar turut berkata, syarikat multinasional termasuk Infineon, Nvidia dan Google digalakkan menjalinkan kerjasama dengan universiti tempatan seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaya (UM) bagi melatih lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi dan profesional.
“Berkenaan kerjasama serantau, Malaysia dan Thailand bersetuju memudahkan urusan kastam bagi produk pertanian dan perikanan Malaysia untuk menembusi pasaran Laos, Kemboja dan Vietnam,” katanya lagi.
Selain wilayah utara, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan kawasan sempadan lain termasuk Sabah dan Sarawak, dengan peruntukan RM1 bilion disediakan sejak dua tahun lalu bagi memperkukuh pembangunan sempadan Malaysia-Indonesia.
Anwar berkata, kerjasama di bawah Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) juga akan terus diperkasa bagi mengurangkan jurang pembangunan infrastruktur serta memperluaskan peluang perdagangan serantau.
“Setiap pelaburan besar yang dibawa masuk ke kawasan berkenaan perlu disertakan dengan peluang pekerjaan dan latihan kepada penduduk tempatan bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








