LUAR NEGARA

Remaja China wasiat harta RM17 juta kepada rakan zaman kanak-kanak

SHANGHAI – Seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun di China mencetuskan perdebatan selepas mewasiatkan harta bernilai 20 juta yuan (kira-kira RM17 juta), termasuk sebuah apartmen dan simpanan, kepada rakan zaman kanak-kanaknya.

Remaja yang hanya dikenali dengan nama keluarga Li itu membuat wasiat yang disahkan secara rasmi untuk menyerahkan keseluruhan harta peribadinya kepada rakannya, bukannya ahli keluarganya.

Memetik laporan South China Morning Post, Li berkata, keputusan itu dibuat selepas ibu bapanya bercerai dan masing-masing berkahwin semula, menyebabkan dia merasakan hubungan dengan mereka semakin renggang.

Menurutnya, ibu bapanya yang memberikan hartanah dimilikinya ketika ini, namun mereka tidak banyak meluangkan masa bersamanya.

Li yang menggemari sukan ekstrem berkata, dia sering melakukan aktiviti yang berisiko dan mahu memastikan hartanya diwarisi oleh individu yang benar-benar dipercayainya sekiranya sesuatu berlaku kepadanya.

wasiat
Gambar hiasan

Dia berkata, dia tidak mahu pasangan baharu ibu bapanya yang dianggap seperti orang asing memperoleh hak terhadap hartanya.

Sebaliknya, Li memilih rakan zaman kanak-kanaknya sebagai pewaris kerana individu itu dikenalinya sejak kecil dan mempunyai hubungan rapat dengannya.

Menurut undang-undang pewarisan China, pasangan, anak dan ibu bapa merupakan pihak pertama yang mempunyai hak terhadap harta pusaka seseorang.

Ini bermakna sekiranya ibu bapa Li menjadi pewaris, pasangan mereka juga berpotensi menikmati hak penggunaan atau pewarisan harta berkenaan pada masa depan.

Bagaimanapun, undang-undang negara itu membenarkan seseorang membuat wasiat untuk menyerahkan harta peribadi kepada individu selain waris yang ditetapkan.

Li hadir ke pejabat Pusat Pendaftaran Wasiat China di Shanghai bagi mengesahkan dokumen wasiat tersebut.

Pengurus pusat itu, Huang Haibo berkata, rakan Li perlu menerima wasiat berkenaan secara sah dalam tempoh 60 hari, jika gagal berbuat demikian mereka dianggap melepaskan hak untuk mewarisi harta tersebut.

Huang berkata, semakin ramai golongan muda termasuk mereka yang lahir pada 1980-an, 1990-an dan selepas tahun 2000 memilih untuk menyediakan wasiat.

“Pembuatan wasiat bukan lagi perkara tabu atau hanya untuk golongan warga emas,” katanya.

Keputusan Li bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial di China.

Sebahagian pengguna mempersoalkan tindakannya dengan alasan ibu bapanya masih memberikan harta bernilai besar kepadanya, manakala ada yang berpendapat Li mungkin mengubah fikirannya kerana masih terlalu muda untuk membuat keputusan besar.

Namun, ada juga yang memuji hubungan persahabatan Li dan menyatakan hasrat untuk memiliki rakan yang begitu dipercayai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button