BERITA SEMASAPMX

PM beri jaminan perjanjian dengan AS tidak halang kerjasama Malaysia dan China

KUALA LUMPUR – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak menghalang Malaysia daripada meneruskan kerjasama dengan China.

Jaminan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai maklum balas kepada kebimbangan China terhadap perjanjian itu.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah memberikan penjelasan menyenainya, malah beliau sendiri menjelaskan kepada rakan sejawatnya dari China, Li Qiang mengenai ART dalam pertemuan dua hala antara mereka.

“Mereka mahukan penjelasan dan kita sudah berikan. Saya tidak fikir kita perlu memperbesarkan perkara ini.

“China kekal sebagai rakan dagang yang sangat penting. Tiada apa-apa dalam perjanjian itu yang menghalang kita daripada meneruskan kerjasama dengan China,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan model kenderaan elektrik pertama (EV) keluaran PERODUA, QV-E di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Beijing menyuarakan kebimbangan serius terhadap bahagian tertentu dalam ART yang ditandatangani antara AS dan Malaysia serta Kemboja.

Perkara itu dinyatakan jurucakap Kementerian Perdagangan China pada Khamis lalu, susulan perbincangan dua hala antara China dan Malaysia berhubung ART di Beijing, baru-baru ini.

Menurut jurucakap itu, sebarang perjanjian tidak harus menjejaskan pembangunan perdagangan global dan kerjasama serantau serta tidak boleh menjejaskan kepentingan China.

Justeru, China berharap Malaysia dapat mempertimbang terlebih dahulu kepentingan sendiri untuk tempoh jangka panjang dan menangani isu berkenaan dengan baik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button