Pengadil Belanda Rob Dieperink yang digugurkan pada Piala Dunia 2026 meninggal dunia
AMSTERDAM – Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB) mengesahkan pengadil bola sepak antarabangsa, Rob Dieperink meninggal dunia pada usia 38 tahun.
Dieperink memulakan kerjaya sebagai pengadil bola sepak profesional pada 2011 dan mengendalikan sebanyak 284 perlawanan sepanjang kariernya dan mendiang turut bertugas dalam saingan Eredivisie, liga utama Belanda, sejak 2017.
Dalam satu kenyataan, KNVB menyifatkan pemergian Dieperink sebagai satu kehilangan besar kepada dunia pengadilan bola sepak.
Pada Mei lalu, FIFA menggugurkan Dieperink daripada senarai pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi Piala Dunia 2026 selepas dia ditahan Polis Metropolitan London berhubung dakwaan serangan seksual terhadap seorang remaja bawah umur.
Bagaimanapun, Dieperink kemudian memaklumkan bahawa siasatan polis telah ditutup tanpa sebarang pertuduhan dikenakan.
Polis Metropolitan turut mengesahkan bahawa bukti yang diperoleh tidak memenuhi ambang pendakwaan dan tiada tindakan lanjut diambil terhadap beliau.
Selepas digugurkan daripada kejohanan itu, Dieperink menyatakan rasa kecewa kerana tidak dapat bertugas di Piala Dunia serta menegaskan beliau sedih kerana telah dituduh secara salah.
“Pemergian Rob bukan sahaja menyebabkan dunia bola sepak kehilangan seorang pengadil berpengalaman di peringkat antarabangsa, malah kami turut kehilangan seorang rakan sekerja yang amat dihormati,” kata KNVB.
Persatuan itu turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, sahabat handai dan semua yang mengenali mendiang.
FIFA dalam kenyataannya turut menyatakan rasa dukacita atas pemergian Dieperink.
“Bagi pihak seluruh komuniti bola sepak dunia, kami mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan-rakan serta Persatuan Bola Sepak Belanda. Semoga beliau bersemadi dengan aman,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang kariernya, Dieperink pernah bertugas sebagai pegawai VAR pada kejohanan Euro 2024 dan perlawanan akhir Liga Europa 2024, selain mengendalikan ratusan perlawanan profesional di Belanda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








