BERITA SEMASA

BN dahului lebih 30 kerusi DUN berdasarkan kiraan tidak rasmi

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) mendahului persaingan di lebih 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat pukul 6.20 petang, sebaik proses pengundian tamat.

Pakatan Harapan (PH) pula dilaporkan mendahului di kira-kira enam kerusi DUN, manakala proses pengiraan undi masih berlangsung di semua pusat penjumlahan rasmi.

Antara kerusi yang menunjukkan kelebihan kepada BN ialah Mahkota, Buloh Kasap, Kemelah, Tenang, Bekok, Bukit Kepong, Gambir, Tangkak, Semerah, Yong Peng, Parit Raja, Layang-Layang, Mengkibol, Paloh, Kahang, Endau, Tenggaroh, Sedili, Johor Lama, Johor Jaya, Permas, Kempas, Kota Iskandar, Bukit Permai, Bukit Batu, Senai, Pulai Sebatang, Penawar, Tanjung Surat dan Semarang.

Sementara itu, berdasarkan keputusan tidak rasmi, PH mendahului di beberapa kerusi termasuk Stulang, Pekan Nanas dan Jementah.

Proses pengundian PRN Johor Ke-16 berakhir secara rasmi pada pukul 6 petang selepas kebanyakan pusat mengundi dibuka dari pukul 8 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan proses kiraan undi awal bermula pada pukul 5 petang dan mengingatkan orang ramai supaya hanya merujuk kepada pengumuman rasmi SPR bagi mendapatkan keputusan yang sahih.

SPR turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan kerana ia boleh menjejaskan kelancaran proses pilihan raya.

Setakat pukul 5 petang, peratusan keluar mengundi direkodkan sebanyak 67.44 peratus.

PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN, dengan pertandingan melibatkan pelbagai penjuru di kebanyakan kawasan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button