Jangan ulang formula di Selangor, rakyat Johor bijak menilai – Mohamad Sabu
JOHOR BAHRU – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mendakwa taktik memainkan sentimen ketakutan berkaitan agama dan kaum menjadi punca pembangkang berjaya menawan sejumlah kerusi di Selangor walaupun negeri itu mencatat perkembangan pembangunan yang pesat.
Beliau berkata, pendekatan sama kini cuba digunakan di Johor dengan memainkan isu berkaitan hubungan Pakatan Harapan (PH) khususnya melibatkan DAP bagi mempengaruhi pengundi Melayu.
Menurutnya, naratif bahawa DAP mengancam kedudukan Melayu dan Islam adalah strategi politik berasaskan ketakutan yang digunakan apabila pihak tertentu gagal membawa hujah berkaitan pembangunan, kestabilan serta integriti.
“Mereka tidak boleh bawa isu pembangunan, isu kestabilan, isu integriti. Maka mereka cipta isu ketakutan ini. Mereka harap orang Melayu Johor akan bersatu menyokong BN,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Harapan Johor Selatan di Taman Pelangi Indah, di sini malam tadi.
Baca juga : AMANAH seru rakyat Johor tolak politik perkauman, fokus pembangunan ekonomi
Mohamad berkata, rakyat Johor tidak seharusnya terpengaruh dengan pendekatan sedemikian kerana hubungan kerjasama politik antara Melayu dan bukan Melayu sudah berlaku di beberapa negeri lain.
Beliau memberi contoh kerjasama UMNO dan DAP di Perak serta Melaka yang membolehkan kerajaan negeri dibentuk, sekali gus menunjukkan hubungan politik tidak boleh dinilai berdasarkan kaum semata-mata.
“Kenapa DAP Johor dikatakan jahat, tetapi DAP Pahang baik dan menyokong UMNO menjadi Menteri Besar di sana? Begitu juga Melaka, Menteri Besarnya UMNO dan EXCO daripada DAP,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan pengundi Johor supaya tidak terpengaruh dengan kempen yang mengaitkan sesuatu parti atau kaum sebagai musuh kerana setiap individu mempunyai nilai baik dan buruk.
Katanya, politik perlu dinilai berdasarkan prinsip, keadilan dan amanah, bukannya sentimen perkauman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















