PRN Johor: Zahid yakin gelombang sokongan BN semakin kukuh menjelang hari mengundi
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin gelombang sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) semakin kukuh menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.
Menurut Pengerusi BN itu, kehadiran ribuan penyokong pada ceramah bersama warga Kempas dan Perling di Medan Selera Taman Cempaka malam tadi menjadi petunjuk semangat rakyat Johor yang mahu melihat negeri itu terus maju di bawah pentadbiran BN.
“Gelombang biru yang memenuhi setiap ruang malam tadi sudah cukup menggambarkan semangat Bangsa Johor yang mahu terus melihat negeri ini melangkah lebih jauh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Zahid berkata, sepanjang tempoh dua minggu berkempen, BN memilih untuk membawa pendekatan politik yang matang dan beradab dengan mengetengahkan rekod pencapaian serta hala tuju yang jelas untuk negeri Johor.
Menurutnya, fokus kempen BN tertumpu kepada isu yang dekat dengan rakyat termasuk peluang pekerjaan, penyediaan rumah mampu milik, pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pelaburan serta masa depan generasi muda.
“Politik yang kita bawa ialah politik yang bekerja dan menawarkan penyelesaian, bukannya sekadar memainkan sentimen,” katanya.
Beliau turut menegaskan BN tidak meminta rakyat memberikan sokongan tanpa asas, sebaliknya mengajak pengundi menilai rekod prestasi dan membuat pilihan berdasarkan fakta.
Sehubungan itu, Zahid menyeru pengundi di DUN Kempas dan DUN Perling supaya memberikan mandat kepada calon BN, Datuk Ramlee Bohani dan Pannir Selvam bagi memastikan agenda pembangunan serta kestabilan Johor dapat diteruskan.
“Berikanlah mandat kepada mereka supaya agenda pembangunan dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Johor.
“Insya-Allah, saya yakin Bangsa Johor cukup matang untuk menentukan pilihan yang terbaik demi memastikan kestabilan terus dikekalkan dan kemajuan negeri ini dapat diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, BN yakin rakyat Johor cukup matang untuk membuat pilihan terbaik demi menjamin kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan negeri itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















