Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 masih belum nampak hasil – Zahid Hamidi
PUTRAJAYA – “Kita tidak boleh terus terperangkap dalam retorik tanpa kesudahan. Sudah setahun empat bulan sejak Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dilancarkan, namun impaknya masih belum benar-benar dirasai rakyat.”
Demikian penegasan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika membuka sesi pemukiman Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.
Dalam ucapannya, beliau menyeru tindakan segera, semakan jujur dan lonjakan pelaksanaan dilakukan terhadap PuTERA35.
“Kalau tanya saya, belum lagi,” tegas beliau, merujuk kepada kelewatan pelaksanaan dan kecenderungan sesetengah pihak yang menjadikan PuTERA35 sekadar dokumen dasar yang indah tanpa tindakan nyata.
“Kita sudah ada pelan. Kita sudah ada struktur. Kini, yang diperlukan ialah disiplin pelaksanaan dan keberanian membuat keputusan,” katanya dalam nada serius.
Beliau turut menyentuh status semasa 132 ikhtiar di bawah PuTERA35 yang masih banyak belum digerakkan dan menegaskan bahawa tanggungjawab pelaksanaan bukan hanya terletak di bahu Kementerian Ekonomi atau Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KDW) tetapi merentas semua kementerian dan agensi berkaitan.
Selain itu, Zahid menyeru agar perubahan besar dilakukan terhadap cara pengukuran kejayaan dasar, bukan lagi sekadar melaporkan output, tetapi fokus kepada hasil sebenar yang menyentuh kehidupan rakyat.
“Saya mahu angka yang rasional dan hasil yang ketara, bukan hanya persembahan PowerPoint atau PDF yang cantik.
“Dana bukan untuk diagih semata-mata, tetapi untuk melahirkan usahawan yang berdikari dan menyumbang semula kepada ekonomi negara,” ujarnya.
Sejak PuTERA35 dilancarkan pada KEB tahun lalu yang merangkumi tiga teras, 12 pemacu dan 132 ikhtiar, ia baru mencapai kejayaan pelaksanaan sebanyak 15.7 peratus.
Menyentuh isu TVET, beliau mengiktiraf peningkatan minat dalam kalangan belia terhadap pendidikan teknikal itu tetapi menyoal sama ada industri Bumiputera sudah benar-benar bersedia menyerap tenaga kerja yang dilahirkan.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan lima langkah susulan untuk memacu gerak kerja nasional bagi memastikan keberhasilan PuTERA35, termasuk pelaksanaan pelaporan digital masa nyata, komunikasi strategik, penstrukturan semula Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) dan penglibatan aktif GLC serta GLIC.
“Sekarang adalah masa untuk membuktikan bahawa segala yang dirancang benar-benar dilaksanakan,” katanya sebelum mengakhiri ucapan dengan pengumuman bahawa sesi pemukiman itu akan dijadikan acara tahunan tetap bagi menyemarakkan semula agenda pembangunan Bumiputera.
“Sejarah tidak mencatat apa yang kita rancang. Sejarah hanya mencatat apa yang kita laksanakan, dan apa yang kita capai bersama,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








