PRN: Maszlee yakin gelombang sokongan pelbagai kaum kembali kepada PH di Johor
JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik yakin gelombang sokongan pelbagai kaum terhadap gabungan itu kembali menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus menghidupkan semula semangat perubahan seperti pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Beliau berkata, tanggapan kononnya orang Melayu, Cina dan India tidak lagi menyokong PH ternyata tidak selari dengan sambutan yang diterima sepanjang tempoh berkempen.
“Beberapa hari lalu kita diberitahu kononnya orang Melayu tidak akan bersama menyokong Pakatan Harapan di Johor.
“Beberapa minggu lalu ada yang mengatakan orang Cina tidak akan keluar mengundi dan tidak akan bersama menyokong Pakatan Harapan. Ada juga yang mengatakan kaum India sudah jemu dan tidak akan keluar mengundi untuk menyokong Pakatan Harapan.
“Tetapi selepas hampir dua minggu berkempen, semalam saya bersama masyarakat India, sebelum itu bersama masyarakat Cina dan malam ini kita ada orang Cina, orang Melayu, orang India, malah ada juga dari Sabah dan Sarawak.
“Saya rasakan apa yang dikatakan itu tidak benar. Kita dapat rasakan semangat 2018 kembali pada PRN kali ini,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Harapan Johor Selatan di Taman Pelangi Indah, di sini malam tadi.
Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, jika momentum itu dapat diterjemahkan pada hari pengundian, PH mampu mencipta sejarah di Puteri Wangsa dan Johor.
Beliau turut memberi jaminan calon PH akan mengutamakan integriti dan kebajikan rakyat sekiranya diberi mandat mentadbir negeri.
Katanya, wakil rakyat PH tidak akan mengambil rasuah serta akan bekerja siang dan malam demi kepentingan rakyat.
“Kalau Pakatan Harapan diberikan mandat untuk memerintah Johor, kita tidak akan biarkan ibu bapa, datuk, nenek, pak cik dan mak cik beratur panjang untuk mengambil bantuan Kasih Johor kerana rakyat Johor ada maruah dan harga diri.
“Kita belajar daripada Selangor. Bantuan boleh dimasukkan terus ke dalam akaun. Tidak perlu beratur panjang dan menunggu di bawah panas untuk mengambil bantuan. Rakyat ialah tuan, rakyat bukan hamba,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan MADANI juga membuktikan komitmennya membantu rakyat menerusi subsidi petrol yang dinikmati rakyat Malaysia ketika harga bahan api meningkat di beberapa negara jiran.
Katanya, rakyat Malaysia turut menerima pelbagai bentuk bantuan lain yang disalurkan kerajaan.
Dalam pada itu, Maszlee berkata, PH menawarkan kestabilan politik kerana gabungan itu kekal bersama walaupun pernah berdepan pelbagai cabaran.
Beliau berkata, penyelarasan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan memudahkan usaha menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih berkesan.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi termasuk yang bekerja di Singapura supaya pulang mengundi pada 11 Julai bagi menentukan masa depan Johor.
“Keluarlah mengundi, ajak rakan-rakan, anak-anak dan saudara-mara yang berada di Singapura supaya balik mengundi dan memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















