POLITIK

ROS lulus pertukaran nama, logo, pindaan undang-undang WAWASAN – Hamzah

CYBERJAYA – Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah meluluskan pertukaran nama, logo dan pindaan undang-undang parti berkenaan.

Memetik laporan FMT, Hamzah berkata, kelulusan tersebut dimaklumkan melalui surat rasmi daripada Ketua Pengarah ROS, Zulfikar Ahmad bertarikh 7 Julai.

Kelulusan itu yang berkuat kuasa 6 Julai lalu itu melibatkan empat perkara utama termasuk penukaran nama, alamat, pindaan undang-undang di bawah Seksyen 11, serta kebenaran menggunakan bendera dan lambang parti di bawah Seksyen 50 Akta Pertubuhan 1966.

Sebagai rekod, WAWASAN adalah penjenamaan semula Parti Cinta Malaysia sebelum diambil alih oleh Hamzah.

“Sebelum ini, apa yang kita gunakan adalah berdasarkan keputusan mesyuarat agung luar biasa parti, jadi ia tidak salah cuma baru sekarang mendapat pengesahan rasmi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti berkenaan, hari ini.

Tambahnya, jumlah keahlian rasmi yang mendaftar awal dijadualkan akan diumumkan secara terperinci pada 2 Ogos depan.

Ketika ditanya mengenai sama ada WAWASAN akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Hamzah berkata perkara akan diputuskan selepas mesyuarat rasmi bersama jawatankuasa pusat Perikatan Nasional (PN).

Katanya, mesyuarat itu akan memperincikan jumlah kerusi dan calon parti itu yang akan bertanding.

“Secara amnya, kita sudah pun memulakan perbincangan dengan mereka. Cuma saya tidak boleh mengesahkan sehinggalah kita mengadakan mesyuarat sebenar dalam PN.

“Saya bukan seorang yang gemar membuat pengumuman (kerusi dan calon) terlalu awal sebelum mendapat persetujuan rasmi daripada konsensus jawatankuasa gabungan,” katanya lagi.

Hari pengundian PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai dan pengundian awal akan berlangsung pada 28 Julai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button