SUKAN

Skandal RM1.4 bilion: DOJ, FBI siasat Persatuan Bola Sepak Argentina

MIAMI – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dilapor telah memulakan siasatan awal terhadap Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) serta presidennya, Claudio Tapia berhubung dakwaan salah laku kewangan dan penipuan perbankan.

Menurut laporan media Argentina, pihak berkuasa AS sedang meneliti aliran dana berjumlah lebih AS$300 juta (RM1.4 bilion) yang didakwa melalui beberapa institusi kewangan di negara itu bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur pengubahan wang haram atau penipuan transaksi elektronik.

Laporan akhbar La Nacion dan Terra menyebut, pendakwa raya persekutuan bersama ejen FBI telah mula mengambil keterangan berkaitan operasi kewangan AFA di AS.

Siasatan itu tertumpu kepada perjanjian komersial antarabangsa AFA di bawah kepimpinan Tapia, termasuk hubungannya dengan syarikat TourProdEnter LLC yang menguruskan kutipan hasil daripada kontrak luar negara badan induk bola sepak Argentina itu.

Penyiasat turut meneliti transaksi yang didakwa melibatkan beberapa bank utama seperti Citibank, Bank of America dan JPMorgan Chase.

Ketika skuad Argentina meraikan kemenangan 3-2 ke atas Mesir pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia, tekanan terhadap pengurusan AFA dilihat semakin memuncak apabila siasatan tersebut terus berkembang.

Pasukan penyiasat dilaporkan turut mengadakan sidang video selama tiga jam bersama usahawan, Guillermo Tofoni di Miami bagi mendapatkan maklumat berkaitan pentadbiran Tapia serta Bendahari AFA, Pablo Toviggino.

Antara aspek yang diberi perhatian ialah sama ada transaksi kewangan itu, yang dilakukan ketika Argentina melaksanakan kawalan mata wang yang ketat, melanggar undang-undang persekutuan Amerika Syarikat.

Susulan perkembangan itu, AFA menggerakkan wakilnya di Amerika Utara bagi menjelaskan situasi berkenaan.

Duta AFA di Amerika Utara, Tomas Regalado berkata, semua pihak perlu menghormati prinsip bahawa seseorang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah.

“Siasatan awal semata-mata tidak membuktikan sebarang kesalahan atau liabiliti,” katanya ketika menghadiri satu forum bola sepak di Miami.

Sehingga kini, pihak DOJ masih belum memfailkan sebarang pertuduhan rasmi terhadap AFA atau mana-mana individu kerana proses pengumpulan bukti masih berjalan.

Dalam masa sama, Tapia dilaporkan terus berada di Amerika Syarikat bersama skuad Argentina bagi mengiringi pasukan itu menghadapi Switzerland pada aksi suku akhir Piala Dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button