BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus
KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, dengan pendirian dasar monetari ketika ini terus menyokong kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi negara.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) berkata, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, disokong prestasi eksport yang lebih baik daripada jangkaan selain permintaan domestik yang kekal mampan.
Momentum itu dijangka berterusan dan menyokong pertumbuhan ekonomi sekitar lima peratus bagi keseluruhan 2026, manakala asas ekonomi yang kukuh dijangka membantu mengekalkan daya tahan pertumbuhan pada tahun depan.
“Momentum pertumbuhan yang kukuh itu dijangka membawa pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada sekitar 5 peratus bagi keseluruhan 2026, manakala asas ekonomi yang kukuh dijangka terus memastikan pertumbuhan berdaya tahan pada 2027.
“Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 2.75 % hari ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook petang ini.
Menurut BNM, pertumbuhan turut disokong permintaan yang kukuh terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta eksport berkaitan teknologi, selain perbelanjaan pelancong, pasaran pekerjaan yang stabil dan aktiviti pelaburan yang berterusan.
Dalam perkembangan berkaitan harga, inflasi keseluruhan bagi tujuh bulan pertama tahun ini mencatat purata 1.8 peratus, manakala inflasi teras berada pada paras dua peratus.
BNM berkata, walaupun kos kekal tinggi dan ekonomi berkembang kukuh, tekanan peningkatan kos terhadap harga pengguna masih terkawal hasil langkah dasar dalam negeri serta keadaan permintaan yang stabil.
Bagaimanapun, perkembangan konflik di Asia Barat dan peningkatan harga komoditi global terus diberi perhatian kerana kedua-duanya berpotensi meningkatkan tekanan terhadap kos.
MPC berpandangan paras OPR semasa kekal selaras dengan usaha memastikan kestabilan harga serta pertumbuhan ekonomi yang mampan, sambil perkembangan inflasi dan aktiviti ekonomi domestik terus dinilai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







