Otamendi tamatkan khidmat 17 tahun bersama Argentina
BUENOS AIRES – Pertahanan berpengalaman Argentina, Nicolas Otamendi mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa sekali gus menutup tirai perjalanan gemilang selama 17 tahun bersama skuad kebangsaan.
Pemain berusia 38 tahun itu mengesahkan keputusan berkenaan pada Khamis selepas mengharungi 139 penampilan bersama skuad La Albiceleste.
Otamendi menjadi sebahagian daripada pasukan Argentina yang melangkah ke pentas final Piala Dunia di Amerika Syarikat, namun impian mempertahankan kejuaraan tidak kesampaian selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol.
Menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, bekas pemain Manchester City itu mengakui keputusan untuk meninggalkan pentas antarabangsa adalah antara detik paling sukar dalam kariernya.
“Seperti yang ditakdirkan, perlawanan terakhir saya ialah di perlawanan Piala Dunia. Walaupun ia bukan keputusan yang kami harapkan, saya keluar dengan bangga kerana tahu pasukan ini telah memberikan segalanya sehingga saat terakhir.
“Terima kasih Argentina kerana membenarkan saya merealisasikan impian menjadi juara dunia,” katanya.
Sepanjang empat edisi Piala Dunia, Otamendi memainkan peranan penting dalam benteng pertahanan Argentina, termasuk membantu pasukan itu menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar.
Selain kejayaan di pentas dunia, beliau turut membantu Argentina merangkul dua kejuaraan Copa America sepanjang tempoh bersama skuad kebangsaan.
Di peringkat kelab pula, Otamendi baru-baru ini menyertai gergasi Argentina, River Plate selepas menamatkan perjalanan selama 16 tahun di Eropah yang menyaksikan beliau beraksi bersama beberapa kelab ternama seperti Porto, Valencia, Manchester City dan Benfica.
Persaraan itu menandakan berakhirnya satu era buat pemain pertahanan yang menjadi antara tonggak utama kebangkitan Argentina dalam bola sepak dunia sejak lebih sedekad lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















