POLITIK

Kartiyaini dakwa isu perkauman hanya muncul ketika musim pilihan raya

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Kartiyaini Jeyapalan menyifatkan isu perkauman yang dimainkan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, perjuangannya dalam politik berlandaskan prinsip bahawa Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum.

“Saya belum jadi YB lagi. Saya masuk politik dengan satu agenda dan satu perkara dalam minda saya iaitu Malaysia adalah untuk semua orang Malaysia.

“Isu perkauman ini sebenarnya ketika masa politik, masa pilihan raya sahaja kita boleh tengok perkara-perkara ini berlaku. Ini adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune selepas menghadiri Program Malam Harapan di sini malam tadi.

Baca juga : Alan Tee seru politik matang, tolak sentimen kaum dalam kempen PRN Johor

Mengulas lanjut, Kartiyaini turut mendakwa menerima banyak komen berbaur perkauman di laman Facebook miliknya sepanjang tempoh kempen, berbanding calon India daripada parti lain.

“Kalau anda tengok Facebook saya, saya mempunyai banyak komen yang rasis. Tetapi calon India yang lain daripada parti lain mereka tidak terima komen rasis tersebut.

“Ini membuatkan saya dan ramai yang lain tertanya-tanya siapa sebenarnya yang memainkan isu perkauman dan rasis ini? Kenapa Facebook saya sahaja yang mendapat komen rasis sedangkan calon India lain tidak mendapat komen tersebut?” soalnya.

Mengulas mengenai sokongan diterima sepanjang kempen, Kartiyaini berkata, kehadiran ramai penyokong pada malam tadi memberi semangat tambahan kepada beliau dan pasukan untuk meneruskan baki tiga hari sebelum pengundian.

Katanya, sokongan serta kata-kata semangat daripada rakyat termasuk nasihat supaya menjaga kesihatan menunjukkan keprihatinan pengundi terhadap calon yang bertanding.

“Ini merupakan sesuatu yang memang memberi semangat lebih tinggi kepada kami untuk meneruskan tiga hari lagi ini dengan penuh semangat,” katanya.

Dalam pada itu, Kartiyaini berkata, pengalaman turun padang dan menerima laporan masalah penduduk sepanjang tempoh kempen memberinya gambaran jelas mengenai isu yang perlu diberi perhatian sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata, setiap aduan yang boleh diselesaikan segera akan diberi tindakan, manakala isu yang memerlukan campur tangan pihak berkuasa akan dibawa kepada perhatian pihak berkaitan.

Mengenai perancangan dalam tempoh 100 hari sekiranya dipilih, Kartiyaini berkata fokus awalnya adalah turun mendengar keperluan rakyat dan menyediakan pelan tindakan berdasarkan masalah sebenar penduduk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button