TH gesa bakal jemaah haji buat persediaan awal, simpanan minimum RM15,000
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mula menghantar notifikasi peringatan kepada bakal jemaah haji bagi musim 1448H/2027M dan 1449H/2028M supaya membuat persediaan lebih awal termasuk memastikan simpanan minimum RM15,000 serta meningkatkan tahap kecergasan fizikal sebelum menerima tawaran menunaikan ibadah haji.
Dalam kenyataan semalam, TH memaklumkan bakal jemaah disaran menjalani pemeriksaan kesihatan lebih awal selain meningkatkan kecergasan fizikal dan mental memandangkan ibadah haji memerlukan ketahanan yang tinggi dalam persekitaran yang sesak, cuaca panas dan berdebu.
Menurut TH, antara persediaan yang perlu diberi perhatian ialah membiasakan diri berjalan kira-kira 10,000 langkah atau sekitar tujuh kilometer sehari, khususnya sebagai persediaan melaksanakan ibadah melontar jamrah di Mina.
“Bakal jemaah digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan kendiri lebih awal dan meningkatkan kecergasan fizikal serta mental memandangkan pelaksanaan ibadah haji menuntut ketahanan fizikal yang tinggi dalam persekitaran yang ramai, mencabar serta pendedahan kepada cuaca berdebu dan panas,” menurut kenyataan itu.
TH turut mengingatkan bakal jemaah supaya meningkatkan simpanan secara berkala dan konsisten bagi memenuhi syarat kelayakan menerima surat tawaran haji.
Katanya, simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 kekal menjadi penanda aras minimum kelayakan menerima surat tawaran haji, syarat yang mula diperkenalkan pada musim haji 1447H/2026M dan terbukti membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan bakal jemaah.
Mengenai kos haji musim 1448H/2027M, TH memaklumkan jumlah sebenar masih belum ditetapkan, namun kos musim 1447H/2026M sebanyak RM33,300 seorang boleh dijadikan panduan awal untuk merancang simpanan.
TH berkata, notifikasi peringatan akan disalurkan menerusi aplikasi THiJARI, pesanan ringkas (SMS) dan e-mel rasmi, manakala surat tawaran haji akan dikeluarkan secara berasingan kepada bakal jemaah yang layak mengikut syarat dan prosedur ditetapkan.
Selain itu, bakal jemaah turut diingatkan supaya mengikuti Kursus Asas Haji yang bermula pada 25 September ini, memastikan pasport antarabangsa masih sah serta mengemas kini maklumat peribadi menerusi aplikasi THiJARI atau di cawangan TH berhampiran bagi melancarkan urusan berkaitan ibadah haji.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







