BERITA SEMASA

Polis gesa pihak sekolah tingkat tahap keselamatan

KUALA LUMPUR – Polis menggesa semua sekolah meningkatkan tahap keselamatan selepas siasatan awal insiden tikaman di sebuah sekolah di Banting semalam mendapati wujud unsur kecuaian keselamatan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, semua sekolah sememangnya mempunyai anggota keselamatan, namun tahap kompetensi dan keupayaan mereka melaksanakan tugas perlu diperkukuhkan, lapor NST.

“Aspek kecuaian keselamatan memang berlaku dalam insiden ini. Penambahbaikan dari sudut ini perlu dipertimbangkan oleh kementerian berkaitan,” katanya, hari ini.

Noor Hisam berkata, isu itu tidak seharusnya dilihat hanya dalam konteks kes di Banting, sebaliknya perlu dijadikan asas untuk memperkukuh langkah keselamatan di semua sekolah di seluruh negara.

Beliau berkata, pengawal keselamatan perlu diberi latihan yang mencukupi dan memiliki kompetensi, bukannya ditempatkan semata-mata berdasarkan ketersediaan oleh syarikat kawalan keselamatan.

“Ini adalah insiden kedua. Kita tidak mahu ia menjadi satu trend.

“Anggota pengawal perlu benar-benar kompeten untuk melaksanakan tugas, bukan sekadar ditempatkan oleh syarikat masing-masing,” katanya lagi.

Noor Hisam menambah, polis akan terus menyokong dasar yang diperkenalkan kementerian berkaitan menerusi inisiatif Pegawai Perhubungan Sekolah yang berperanan sebagai penghubung antara polis dan pihak sekolah.

Beliau turut berkata, mengehadkan akses kepada senjata dan barangan berbahaya kekal sebagai antara langkah paling praktikal bagi mengurangkan risiko serangan fizikal.

Dalam insiden semalam, seorang pelajr perempuan cedera akibat ditikam seorang lagi pelajr sekolah berkenaan.

Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai diserang menggunakan sebilah pisau dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button