Ahli Parlimen Kuala Terengganu dirawat di IJN selepas alami pening di Parlimen
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami masalah kesihatan ketika berada di Bangunan Parlimen, pagi tadi.
Menurut kenyataan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad berada di Parlimen bagi menghadiri sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) serta dijadual mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan mengalami pening dan hampir pitam sebelum dibawa ke Klinik Parlimen untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan awal.
“Hasil pemeriksaan dan penilaian lanjut oleh pegawai perubatan di Klinik Parlimen, YB Datuk telah dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan lanjut.
“Beliau kemudiannya dibawa ke IJN dengan ambulans dan kini telah dimasukkan ke wad bagi tujuan pemantauan serta rawatan lanjut,” menurut hantaran di Facebook beliau hari ini.
Susulan keadaan kesihatannya, beberapa urusan rasmi, pertemuan dan program yang dijadualkan melibatkan Ahmad Amzad sepanjang minggu ini terpaksa ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.
Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap semua pihak mendoakan agar Ahmad Amzad diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatannya.
Menurut kenyataan itu, perkembangan lanjut mengenai keadaan kesihatan beliau akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















