PM kurang setuju PRN Johor hari Sabtu, patut dibuat Ahad untuk galak lebih ramai mengundi
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sepatutnya diadakan pada hari Ahad bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Beliau berkata, walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan badan bebas yang mempunyai kuasa menetapkan tarikh pilihan raya, pandangan peribadinya adalah hari mengundi pada Ahad lebih sesuai, khususnya bagi memberi peluang kepada pengundi yang bekerja, termasuk di Singapura untuk pulang mengundi.
Menurut Anwar, masih ramai rakyat Malaysia yang bekerja separuh hari pada Sabtu, justeru penetapan hari mengundi pada Ahad mampu meningkatkan peratusan keluar mengundi.
“SPR sebagai badan bebas harus lebih teliti supaya pilihan raya berlangsung mengikut semangat demokrasi, dengan tempoh yang mencukupi serta hari mengundi yang dapat menggalakkan orang ramai pulang mengundi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pandangannya itu bukan bertujuan mencampuri urusan SPR, sebaliknya merupakan satu teguran bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat melaksanakan hak demokrasi mereka.
“Saya kurang setuju kerana apa sahaja yang boleh dilakukan untuk menggalakkan lebih ramai orang keluar mengundi wajar dipertimbangkan.
“Namun, keputusan itu tetap berada di tangan SPR sebagai badan bebas,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang turut menyentuh dakwaan mengenai laporan media berkaitan tujuan PRN Johor diadakan lebih awal, sambil menegaskan bahawa tegurannya terhadap SPR tidak boleh dianggap sebagai campur tangan terhadap badan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















