POLITIK

Parti Bersama tawar suara rakyat, fokus isu keselamatan dan perumahan di Larkin

JOHOR BAHRU – Calon Parti Bersama bagi DUN Larkin, Norsinah Abu, berjanji untuk membawa suara rakyat dan memberi perhatian kepada isu-isu setempat yang menurutnya memerlukan tindakan segera sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, Parti Bersama tampil sebagai alternatif kepada parti-parti sedia ada dengan menawarkan kepimpinan yang lebih dekat dengan rakyat serta memahami keperluan masyarakat setempat.

“Saya orang biasa dan tidak pernah memegang jawatan besar seperti pihak lawan. Kami mahu menjadi suara rakyat dan melengkapkan perkara-perkara yang mungkin tidak sempat diberikan perhatian oleh pihak lain,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Norsinah berkata, hasil turun padang dan pertemuan dengan penduduk mendapati beberapa isu infrastruktur serta keselamatan awam perlu diberikan keutamaan.

Beliau mendakwa keadaan di Pasar Awam Taman Suria memerlukan perhatian segera berikutan faktor keselamatan yang membimbangkan.

“Jalan di sekitar pasar itu berlubang dan terdapat banyak kerosakan pada lantai yang boleh membahayakan pengguna, terutama golongan warga emas yang sering mengunjungi kawasan tersebut.

“Selain itu, kami turut menerima aduan berkaitan rumah kediaman yang diubah suai menjadi rumah sewa dengan jumlah bilik yang banyak untuk disewakan kepada pekerja yang berulang-alik ke Singapura,” katanya lagi.

Menurut beliau, Parti Bersama tidak menolak pembangunan atau usaha rakyat mencari rezeki di negara jiran, namun berpandangan bahawa perlu ada penguatkuasaan dan kawalan lebih baik terhadap aktiviti penyewaan rumah bagi memastikan kesejahteraan penduduk setempat terpelihara.

Beliau turut mendakwa terdapat beberapa lokasi di kawasan Larkin yang mempunyai kemudahan dan infrastruktur awam yang tidak selamat serta memerlukan tindakan pihak berkaitan.

Norsiinah berkata, Parti Bersama memberi tumpuan khusus kepada golongan muda dan pengundi kali pertama dengan hasrat melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis yang berintegriti.

“Parti Bersama menyasarkan golongan milenial dan Gen Z kerana kami mahu melatih pelapis politik muda untuk memimpin negara secara jujur, telus dan bertanggungjawab.

“Masa depan negara terletak di tangan anak muda. Sebab itu agenda dan manifesto kami memberi perhatian kepada aspek keluarga, pendidikan, pengangkutan serta keperluan generasi akan datang,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa pengundi muda supaya keluar mengundi dan membuat pilihan berdasarkan pertimbangan yang mampu menjamin masa depan lebih baik untuk diri, keluarga dan masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button