BERITA SEMASA

Kes tikam di sekolah: Pelajar cedera sedang dirawat, suspek telah ditahan polis – JPN Selangor

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan, pelajar yang cedera dalam kejadian tikam di sebuah sekolah menengah di Banting pagi tadi kini dirawat di hospital, manakala suspek kejadian itu telah ditahan pihak polis.

JPN Selangor dalam kenyataan berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

“Satu insiden tikam telah berlaku di sebuah sekolah di sini pada hari ini. Pelajar yang tercedera dalam insiden ini sedang mendapatkan rawatan di hospital.

“Manakala suspek kes ini pula telah ditahan oleh pihak polis,” kata kenyataan tersebut.

BACA JUGA:
Pelajar sekolah menengah cedera dalam insiden tikaman di Banting

Tambah JPN Selangor, pihaknya kini memberi fokus kepada kebajikan pelajar yang cedera.

“Tumpuan utama pada ketika ini adalah untuk memastikan murid yang tercedera mendapat rawatan terbaik dan bantuan diberi kepada keluarga.

“Pasukan kaunselor dan Guru Bimbingan dan Kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu proses siasatan.

Terdahulu, tular video di aplikasi Threads memaparkan sekumpulan pelajar bertempiaran lari apabila seorang perempuan dipercayai memegang sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button