Kemasukan pelajar antarabangsa tidak khianati pelajar tempatan – KPT
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan dakwaan kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam (UA) telah mengurangkan peluang pelajar tempatan melanjutkan pengajian sebagai tidak berasas, mengelirukan dan gagal menggambarkan realiti sebenar sistem pendidikan tinggi negara.
KPT dalam satu kenyataan berkata, isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah itu bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, malah menjejaskan reputasi institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia.
“Agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi bukanlah dasar baharu atau dasar yang diwujudkan secara ‘ad hoc’. Ia merupakan dasar kebangsaan yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak lebih dua dekad lalu selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) tahun 2007 bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.
“Hari ini, Malaysia menjadi destinasi pilihan pelajar daripada lebih 180 buah negara hasil pengiktirafan terhadap kualiti program akademik, kecemerlangan penyelidikan, kepakaran tenaga akademik serta kos pendidikan yang kompetitif,” kata KPT.
KPT berkata, apabila jumlah pelajar prasiswazah dan pascasiswazah digabungkan bagi mewujudkan persepsi bahawa pelajar antarabangsa mengambil tempat pelajar tempatan, ia merupakan gambaran yang tidak tepat serta mengelirukan masyarakat.
Ini kerana menurut KPT, berdasarkan data rasmi sistem MyMoheS sehingga 31 Disember 2025, jumlah keseluruhan enrolmen di universiti awam ialah 634,706 pelajar, dengan hanya 56,565 atau 8.9 peratus merupakan pelajar antarabangsa.
Daripada jumlah itu, seramai 502,212 daripada 520,105 pelajar prasiswazah adalah rakyat Malaysia, manakala pelajar antarabangsa hanya berjumlah 17,893 orang atau 3.44 peratus.
KPT menjelaskan, majoriti pelajar antarabangsa berada di peringkat pascasiswazah yang tidak bersaing secara langsung dengan lepasan SPM, STPM, matrikulasi atau diploma yang memohon ke program prasiswazah.
“Kemasukan pelajar antarabangsa ke program prasiswazah pula dibuat secara ‘over and above’ iaitu hanya selepas kuota arus perdana melalui UPUOnline dipenuhi,” jelasnya.
Mengulas dakwaan kononnya pelajar antarabangsa merampas tempat di lima Universiti Penyelidikan (RU), KPT berkata daripada 186,824 pelajar di universiti berkenaan, seramai 145,727 orang atau 78 peratus merupakan pelajar tempatan.
Ujar KPT, daripada 41,097 pelajar antarabangsa di universiti penyelidikan pula, 68.5 peratus mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah bagi menyokong agenda penyelidikan, inovasi dan jaringan akademik antarabangsa.
KPT turut menegaskan pelajar antarabangsa tidak menerima subsidi kerajaan, sebaliknya membayar yuran penuh yang membantu mengukuhkan kedudukan kewangan universiti, selain meningkatkan kerjasama penyelidikan, penerbitan ilmiah dan penarafan universiti di peringkat global.
“Kepentingan, kebajikan dan akses pendidikan pelajar tempatan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.
“Agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi akan terus dilaksanakan secara strategik tanpa sesekali mengorbankan hak, peluang dan masa depan pelajar Malaysia,” tegas KPT.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















