BERITA SEMASA

KPT nafi dakwaan pelajar antarabangsa rampas tempat pelajar tempatan di universiti awam

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan dakwaan bahawa kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti awam (UA) telah mengurangkan peluang pelajar tempatan melanjutkan pengajian adalah tidak berasas, mengelirukan serta gagal menggambarkan realiti sebenar sistem pendidikan tinggi negara.

KPT dalam satu kenyataan berkata, dakwaan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah itu bukan sahaja menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan reputasi institusi pendidikan tinggi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menurut kementerian, agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi telah dilaksanakan secara konsisten sejak lebih dua dekad selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) 2007 bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.

“Kemasukan pelajar antarabangsa bukanlah dasar baharu atau dilaksanakan secara ad hoc, sebaliknya merupakan dasar kebangsaan yang telah lama dirancang dan berjaya menarik pelajar dari lebih 180 negara hasil pengiktirafan terhadap kualiti pendidikan tinggi negara,” menurut kenyataan itu.

Haim
Tangkap layar video ceramah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah yang mendakwa 32,000 pelajar luar negara belajar di UA.

Katanya, berdasarkan data rasmi sistem MyMoheS sehingga 31 Disember 2025, jumlah keseluruhan enrolmen di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta ialah 1.26 juta pelajar, dengan pelajar antarabangsa hanya mewakili 159,138 orang atau 12.6 peratus.

Bagi UA pula katanya, daripada keseluruhan 634,706 pelajar, hanya 56,565 orang atau 8.9 peratus merupakan pelajar antarabangsa.

KPT menjelaskan bahawa bagi program prasiswazah, seramai 502,212 daripada 520,105 pelajar adalah warga tempatan, bersamaan 96.56 peratus, manakala pelajar antarabangsa hanya berjumlah 17,893 orang atau 3.44 peratus.

Sebaliknya katanya, majoriti pelajar antarabangsa berada di peringkat pascasiswazah, dengan 38,672 daripada 114,601 pelajar atau 33.74 peratus, sejajar dengan peranan universiti dalam memperkukuh penyelidikan dan pembangunan akademik.

Kementerian turut menjelaskan bahawa dakwaan pelajar antarabangsa “merampas” tempat di lima Universiti Penyelidikan (RU) iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah tidak tepat.

“Daripada 186,824 pelajar di lima universiti tersebut, seramai 145,727 orang atau 78 peratus ialah pelajar tempatan, manakala hanya 41,097 orang merupakan pelajar antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, 68.5 peratus mengikuti pengajian pascasiswazah, manakala pelajar prasiswazah antarabangsa diterima melalui laluan tambahan (‘over and above’) selepas kuota pelajar tempatan dipenuhi,” katanya.

Menurut KPT, pelajar antarabangsa turut memberi manfaat besar kepada universiti kerana mereka membayar yuran penuh tanpa subsidi kerajaan, menyumbang kepada pengukuhan kewangan institusi, meningkatkan kerjasama penyelidikan antarabangsa, memperkukuh penerbitan ilmiah serta membantu meningkatkan kedudukan universiti Malaysia dalam penarafan dunia.

Kementerian turut memaklumkan bahawa China kekal menjadi penyumbang terbesar pelajar antarabangsa di Malaysia dengan 32,549 pelajar di UA, selaras dengan trend global yang turut menyaksikan negara seperti Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Kanada menerima jumlah besar pelajar dari negara itu.

Sehubungan itu, KPT menegaskan bahawa kepentingan, kebajikan dan akses pendidikan pelajar tempatan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan MADANI.

“Kementerian akan terus melaksanakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi secara strategik dan bertanggungjawab bagi memastikan institusi pendidikan tinggi negara kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa tanpa mengorbankan hak, peluang dan masa depan pelajar Malaysia,” menurutnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button